Sabtu, 12 Mei 2012
PENYUNTING : ROHIZAH
MD ZAIN
PENYAMPAI : SITI AISHA MELISSA YUHANIZ
- KERJASAMA PEKERJA,
MAJIKAN DAN KERAJAAN PERLU TERUS DIPERKUKUH.
- SISTEM PENDIDIKAN
SETARAF NEGARA MAJU DISASAR DALAM TEMPOH 10 HINGGA 15 TAHUN
- INSENTIF TUNAI
BULANAN UNTUK JURURAWAT PAKAR MILIKI KELAYAKAN POS BASIK.
PERKUKUHKAN KERJASAMA ERAT
PEKERJA, MAJIKAN DAN KERAJAAN
Kerjasama
erat antara pekerja, majikan dan kerajaan perlu terus diperkukuhkan, bagi
meningkatkan
produktiviti
dan menjayakan agenda transformasi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merupakan nadi
utama dalam menyuburkan konsep situasi yang menguntungkan semua tanpa
menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. Beliau berucap pada perhimpunan Hari Pekerja 2012 di
Serdang. [[pbr]]
HORMATI UNDANG-UNDANG NEGARA
Sementara
itu dalam satu majlis berasingan di Kuantan, Pahang, Datuk Seri Najib mengingatkan rakyat supaya
terus menghormati dan menyanjung tinggi undang-undang negara. Mereka turut
diingatkan supaya tidak melakukan kerosakan dan menyerang anggota keselamatan.
Ini kerana mereka juga manusia biasa yang mempunyai anak dan anggota
keluarga. [[bernama]]
SASARAN REALISTIK BANGUNKAN
SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Kerajaan
meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan negara setaraf
atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Timbalan Perdana menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha untuk mencapai tahap
sistem
pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu sektor
pendidikan akan terus menjadi keutamaan dalam memajukan negara. [[PBR]]
INSENTIF BULANAN UNTUK JURURAWAT
PAKAR
Insentif
tunai bulanan sebanyak seratus ringgit akan dibayar kepada jururawat pakar yang
memiliki kelayakan pos basik, dalam bidang penjagaan kritikal dan pengkhususan
kritikal. Menteri
Kesihatan
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata senarai penjagaan kritikal dan pengkhususan
kritikal ditambah kepada 26 bidang daripada 18 sebelum ini, bagi menggalakkan lebih ramai
jururawat
memiliki kelayakan dalam bidang pengkhususan.
Katanya Malaysia menghadapi kekurangan jururawat pakar atau jururawat
penjagaan khusus. Ini kerana daripada 96
ribu 598 jururawat, hanya 21 ribu 814 memiliki kelayakan pos basik.Beliau
berucap merasmikan sambutan Hari Jururawat Sedunia Antarabangsa di Shah
Alam. [[bernama]]
DARI RUMAH PANGSA KE PANGSAPURI
Penduduk
rumah pangsa 4 tingkat di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur bakal menerima 472
unit pangsapuri moden yang lengkap dengan prasarana lebih selesa. Ia dilaksanakan dibawah projek transformasi
pembangunan semula kawasan itu. Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato Raja Nong Chik Raja Zainal
Abidin berkata, projek tersebut membuktikan kerajaan komited dalam membantu
rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman
yang lebih selesa. Projek itu juga,
merupakan projek perintis bagi pembangunan kawasan penempatan yang uzur lain di
Wilayah Persekutuan. Beliu memberitahu pemberita selepas majlis pecah tanah Kerinchi Residensi di Kuala
Lumpur. [[pbr]]
KONSEP K-BARU
Sementara
itu Pembangunan Kerinchi Residensi mengguna pakai konsep K-Baru. Dato Raja Nong
Chik berkata, konsep itu memudahkan pembangunanan semula kawasan perumahan yang
terlibat. Penduduk akan dipindahkan ke kediaman transit semasa kerja-kerja
pembinaan dan pembangunan dijalankan. Pelbagai kemudahan disediakan kepada penghuni untuk memudahkan proses transit ini. [[pbr]]
MTUC DAN CEUPACS DISERI PELUANG
KENDALI KR1M
Peluang yang
diberi kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)dan Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), untuk mengendalikan Kedai
Rakyat 1-Malaysia KR1M), SATU pendekatan yang baik. Menteri Sumber Manusia,
Datuk Dr S Subramaniam berkata ia dilihat satu peluang ke arah pengukuhan
kerjasama antara Kerajaan, Majikan dan pekerja yang lebih jitu dan berkesan;
Beliau bercakap kepada pemberita di Serdang.
"Ini memang akan membawa manfaat
kepada ahli2 mereka dan mereka berpeluang untuk mendapat barang-barang dengan
harga yang munsabah. Dan ini akan membantu golongan mereka yang mendapat
pendapatan yang rendah untuk menghadapi peningkatan kos kehidupan yang ada pada
masa sekarang. Inilah beberapa daripada langkah2 kemudahan kebajikan yang
kerajaan sudi menawar kepada golongan pekerja sebagai satu langkah untuk meringankan beban mereka".
Sementara
itu Mengulas kelantangan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez mengenai
situasi pekerja asing di Malaysia, Datuk Dr Subramaniam berkata, kenyataan itu
NYATA tidak bertanggungjawab. Malah tidak tepat dari segi fakta, mengelirukan serta memberi persepsi negatif
kepada negara.
[[pbr]]
TNB RUGI
Tenaga
Nasional Berhad (TNB)mengalami kerugian hampir 170 juta ringgit, akibat kecurian logam (kuprum) pencawang
elektrik. Ia melibatkan kawasan di
seluruh Semenanjung Malaysia dari tahun 2004 sehingga tahun lepas. Naib Presiden (Penghantaran) TNB Datuk
Rozimi Remeli berkata contohnya di Melaka sahaja, TNB mengalami kerugian sebanyak 7 juta
ringgit dalam tempoh sama. Datuk Rozimi
bercakap kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka. Katanya
jenayah itu bukan sahaja merugikan TNB malah turut memberi kesan kepada
pengguna. [[bernama]]
CHINA IKRAR TINGKAT KERJASAMA
DENGAN MALAYSIA PERANGI JENAYAH RENTAS NEGARA
China
berikrar meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam memerangi jenayah rentas
negara.
Dalam satu
kenyataan di Beijing, Menteri Keselamatan Awam China Meng Jianzhu berkata Kuala
Lumpur dan Beijing telah menjalin
hubungan yang baik dalam kerjasama penguatkuasaan undang-undang.
Beliau
menggesa kedua-dua pihak terus memperkukuhkan kerjasama dalam memerangi jenayah
rentas negara, terutamanya penipuan telekomunikasi, pentadbiran keluar dan
masuk, serta anti-keganasan.
Kenyataan
dikeluarkan selepas Naib Menteri Keselamatan Awam Meng Hongwei mengadakan
pertemuan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Lee Chee Leong,
yang dalam rangka lawatan ke negara itu.
[[ber]]
PEMBENTUKAN KERAJAAN CAMPURAN
GREECE GAGAL
Tiga parti
politik yang memperoleh undi tertinggi pada pilihan raya parlimen Greece Ahad
lepas gagal capai kata sepakat untuk membentuk kerajaan campuran. Peluang
terakhir kini terletak di tangan presiden bagi mengelak pilihan raya sekali
lagi pada bulan depan. Presiden Karolos Papoulias akan menggunakan kuasanya
bagi meningkatkan keyakinan pemimpin parti. Parti sosialis diketuai Evangelos
Venizelos berusaha membentuk gabungan dengan parti Demokrasi Baru dan gabungan
radikal kiri Syriza.
((ap))
SERANGAN BOM DI PESHAWAR
Sebuah
kenderaan membawa anggota keselamatan meletup mengakibatkan seorang anggota
terbunuh. Serangan berlaku di bandar Peshawar. Ia turut menyebabkan 12 orang
awam dan lima anggota polis cedera. Polis yakin serangan bom yang di pasang
ditepi jalan itu disasarkan ke atas kenderaan tersebut yang dalam perjalanan
mengiringi kenderaan penjara. Tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
((ap))
BANJIR KILAT DI CHINA
Angka
kematian akibat banjir kilat di barat laut China meningkat kepada 37 orang. 19
lagi dilaporkan hilang. Menurut agensi berita Xinhua, bencana alam yang berlaku
di Minxian, wilayah Gansu turut menyebabkan tanah ladang seluas 7 ribu hektar
musnah. Banyak rumah juga runtuh manakala jalan-jalan utama ditutup. Hampir 30
ribu penduduk dipindahkan ke kawasan selamat.
((dpa))
PENGECAMAN MAYAT MANGSA NAHAS
PESAWAT RUSIA
Mayat mangsa
nahas pesawat Rusia yang dijumpai di kawasan nahas di Bogor Indonesia tiba di
Jakarta bagi tujuan pengecaman. Cebisan anggota badan mayat dibawa ke hospital
sebaik tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah. Menteri penyelaras bagi
kebajikan penduduk, Agung Laksono berkata, Agensi Mencari dan Menyelamat
Kebangsaan akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti identiti mangsa. Pesawat
yang membawa 45 penumpang dilapor terhempas setelah hilang dari radar ketika
berada kira-kira 60 kilometer ke selatan Jakarta. ((reuters))
FHI - SG SIPUT
Hampir
30-ribu penduduk di Parlimen Sungai Siput bakal menikmati pembangunan dan
pertumbuhan ekonomi, sekiranya sebuah kawasan industri berat diwujudkan
dikawasan berkenaaan. Ia PASTI memberi manfaat besar kepada penduduk setempat
dan kawasan berhampiran. Azizah Yaccob meninjau perancangan pembangunan di
kawasan berkenaan.
"Ketua MIC Bahagian Sungai
Siput, Encik Ganesan Raju berkata,
banyak lagi program pembangunan yang bakal dilaksanakan, supaya taraf
hidup masyarakat di situ akan sentiasa terbela Apa yang dilaksanakan akan menukar wajah Sg Siput
sebagai kawasan pertanian dan industri termaju di Perak. Sekaligus memberi
limpahan ekonomi, terutama peluang pekerjaan baru kepada penduduknya. Bidang pendidikan turut menjadi keutamaan.
Sebuah lagi sekolah jenis Kebangsaan Tamil akan dibina, memberi manfaat kepada
kira-kira 5-ratus pelajar. Sekolah berkenaan akan mengambil nama Tun
Sambanthan; mengiktiraf tokoh yang banyak memperjuangkan nasib masyarakat India
negara ini. Hasil daripada pelbagai
kemudahan yang disediakan telah
merancakkan aktiviti ekonomi Sg Siput; meningkatkan taraf hidup rakyatnya. Apa
yang pasti, banyak lagi projek pembangunan bakal dinikmati masyarakat setempat,
menyediakan mereka satu kehidupan yang lebih baik dan selesa. Fokus Politik dan Pembangunan, Azizah Yaccob
untuk Berita Radio RTM".
ATLET HARUS JAGA NAMA BAIK NEGARA
Para atlet
diminta sentiasa menjaga nama baik negara dalam setiap pertandingan yang disertai terutama di luar negara. Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin
bertitah ini kerana atlet
kini dilihat
sebagai ikon yang semakin menjadi
perhatian masyarakat. Baginda
bertitah pada majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum)
2011 di Kuala Terengganu. [[bernama]]
HOKI
Menjelang
perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia. Menteri Belia dan Sukan
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu skuad hoki remaja negara menumpukan
perhatian untuk mencipta kemenangan hingga wisel penamat berbunyi. Mereka perlu
mengekalkan momentum kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan itu.
Malaysia akan bertemu Pakistan pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit
Serindit, Melaka esok. (( bernama ))
EDITOR: EZA YUSMAWATI YAACOP
PENYAMPAI: AZNARINA AZIZ
- BN PERLU CARI KAEDAH KREATIF
SELESAIKAN MASALAH RAKYAT.
- MALAYSIA GERBANG NEGARA-NEGARA
PENGELUAR MINYAK MASUKI RANTAU ASIA.
- JUMLAH KUOTA HAJI DIKETAHUI
JULAI DEPAN.
BN PERLU KREATIF UNTUK SELESAIKAN MASALAH
RAKYAT
Barisan
Nasional (BN) perlu mencari kaedah kreatif dan berkesan untuk menyelesaikan
masalah rakyat dalam era moden ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
yang juga Pengerusi BN, berkata Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR), pusat panggilan
yang diinisiatifkan BN Selangor, antara contoh terbaik pendekatan kreatif untuk
menangani aduan rakyat. Beliau memberitahu demikian ketika diwawancara
juruhebah SelangorFM, sempena pelancaran PAKAR dan lawatan sehari ke Selangor
di Shah Alam.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Najib berkata antara aduan yang boleh
diutarakan ialah kegagalan pengurusan sampah dan masalah mengenai Pihak
Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing:
((PBR/BERNAMA))
MALAYSIA GERBANG NEGARA KELUAR MINYAK
Dalam
perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Malaysia adalah gerbang
negara-negara pengeluar minyak untuk memasuki rantau Asia. Sebagai contoh
katanya, Komuniti Ekonomi Asean, yang
akan dilaksanakan pada 2015, akan menyaksikan Malaysia menjadi gerbang kepada
pasaran serantau. Ia bagi hampir 600
juta penduduk -- dengan tarif sifar untuk 99.4 peratus daripada produk yang
boleh didagangkan. Beliau yang juga
Menteri Kewangan, menyampaikan ucap utama pada Forum Pelaburan Kumpulan
Malaysia-Bank Pembangunan Islam (IDB) di Kuala Lumpur.
((BERNAMA))
MALAYSIA-UAE AKAN TUBUH MAJLIS PERDAGANGAN
BERSAMA
Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia dan Emiriyah Arab
Bersatu (UAE) dijangka mewujudkan satu Majlis Perdagangan Bersama dalam masa
terdekat. Majlis itu akan dilaksanakan
Dewan Perniagaan negara masing-masing bagi membolehkan hubungan dagang antara
kedua negara itu terus berkembang pesat. Beliau bercakap kepada wartawan
Malaysia selepas menamatkan lawatan rasminya selama tiga hari di Abu Dhabi.
Dalam pada itu Kerajaan sedang meneliti undang-undang pekerja
asing di UAE -- sama ada ia sesuai dilaksanakan di Malaysia atau tidak. Menurut Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin,
penggubalan undang-undang berkaitan pekerja asing di UAE mengambilkira jumlah
pekerja asing yang ramai.
Ditanya mengenai Dialog Pendidikan Nasional, Tan Sri Muhyiddin
berkata kerajaan tidak membataskan hanya kepada peringkat sekolah
tertentu. Ini kerana pendidikan
pra-sekolah juga terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran. Katanya
kementerian juga mengambil kira untuk meningkatkan kualiti guru termasuk guru
pra-sekolah.
((BERNAMA))
KOMPLEKS KERETAPI TANAH MELAYU AKAN DIJADIKAN
‘PEKAN MELAYU’
Kawasan
dalam lingkungan dari Kompleks Keretapi Tanah Melayu - Masjid Negara sehingga
Bangunan Sultan Abdul Samad akan dijadikan sebahagian daripada warisan ketara
dan lambang kepada 'Pekan Melayu'.
Kertas kerja dan pelan perancangan mengenainya sedang disediakan dengan
kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur -- sebelum dibawa ke kabinet. Demikian dinyatakan Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim. Datuk Seri Utama Dr
Rais Yatim ditemui pemberita selepas majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan di
Kuala Lumpur.
"Jadi
sekarang kita harus mewujudkan kawasan yang 60 ekar saya sebutkan itu sebagai
kawsan di kuala lumpur supaya mencerminkan karektor ataupun perwatakan
kebangsaan kita di sini, sudah ada disitu bangunan keretapi, macam mana kita
nak pulihara dan memuliharanya, kita sudah ada apa yang kita sebut bangunan
sultan abdul samada, bagaimana kita harus memberi penghargaan kepadanya dan
seterusnya memulihara agar tidak berubah dalam konteks keperluan kita mengisi
tuntutan unesco akhirnya. "
((PBR))
KUOTA HAJI AKAN DIUMUM PADA JULAI
Keputusan
mengenai jumlah kuota haji untuk jemaah Malaysia, sama ada dikekalkan atau
dikurangkan berikutan perhimpunan "Bersih Yang Kotor" di Mekah dan
Madinah pada 28 April lepas, akan diketahui pada Julai depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Jamil Khir Baharom berkata kerajaan Malaysia sebenarnya bimbang perhimpunan itu
mungkin memberi kesan kepada pemberian kuota haji untuk negara. Beliau bercakap kepada pemberita selepas
melancarkan Skim Biasiswa Tabung Haji di ibu negara.
Kedutaan Arab Saudi di Malaysia telah menghantar nota diplomatik
kepada Kementerian Luar baru-baru ini.
Antara lain nota itu meminta Malaysia mengambil langkah sewajarnya bagi
memastikan rakyat negara ini tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi haram di
kedua-dua kota suci umat Islam itu.
((BERNAMA))
POLIS TAHAN EMPAT PESERTA DEMONSTRASI JALANAN
Dalam pada
itu polis menahan empat lagi peserta perhimpunan terbabit yang gambar mereka
disiarkan di dalam media. Ini menjadikan
jumlah keseluruhan 16 yang ditahan sehingga awal pagi ini. Pegawai Jabatan
Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz berkata
empat peserta yang ditahan masing-masing berusia antara 20 hingga 50
tahun. Mereka ditahan di lokasi
berasingan antaranya di Pulau Pinang, Seremban, dan Batu Pahat. Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan tersebut.
((BERNAMA))
IKLAN KESIHATAN DI BAWAH KAWALAN
Iklan
berkaitan kesihatan dan rawatan yang disiarkan di televisyen dan radio adalah
di bawah kawalan dan kelulusan Lembaga Pengiklanan Perubatan Kementerian
Kesihatan. Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph
Salang berkata, langkah tegas akan diambil terhadap mana-mana stesen penyiaran
sekiranya kandungan iklan yang disiarkan didapati bercanggah dengan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98). Datuk Joseph berkata demikian dalam
sesi soal jawab di Dewan Negara.
((PBR))
TINDAKAN KEPADA RADIO FREE SARAWAK TERHAD
Dalam sesi
sama Datuk Joseph berkata Kerajaan sukar mengawal dan mengambil tindakan ke
atas stesen Radio Free Sarawak kerana ia berpangkalan di luar negara. Katanya stesen yang menggunakan gelombang
dari luar negara itu mengehadkan kuasa kementerian untuk memantau dan mengawal
siaran tersebut menjadi terhad. Beliau
menjawab soalan tambahan Senator Lihan Jok yang bertanya pendirian kementerian
berhubung stesen itu yang didakwa memburukkan negara dan kerajaan negeri
Sarawak.
((PBR))
WAKIL KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI AKAN
DILETAKKAN DI SETIAP KOLEJ
Dalam sesi
perbahasan Rang Undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974,
Senator Noriah Mahat mencadangkan supaya wakil Kementerian Pengajian Tinggi
diletakkan di setiap universiti dan kolej.
Tujuannya -- menyampaikan dasar kerajaan.
((PBR))
RELA SASAR 3-JUTA ANGGOTA
Ikatan
Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mensasarkan pertambahan anggota kepada 3-juta
orang menjelang hujung tahun ini, menerusi penyertaan golongan belia. Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim
berkata Rela kini mempunyai 2.94 juta anggota.
Sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi Unit Rela Muda bagi belia
berumur 18 hingga 25 tahun. Beliau
memberitahu pemberita di Johor Bahru.
((BERNAMA))
MYANMAR ADAKAN RUNDINGAN DENGAN KUMPULAN
ETNIK
Langkah
berani Myanmar mengadakan rundingan damai dengan kumpulan etnik, memberi
harapan baru untuk menamatkan konflik di utara negara itu. Myanmar menandatangani perjanjian gencatan
senjata dengan beberapa kumpulan etnik,
sejak beberapa bulan lalu. Ia
dalam usaha menamatkan konflik dengan kumpulan minoriti. Konflik berkenaan sudah berlarutan sejak
Myanmar mendapat kemerdekaan pada tahun 1948.
((AFP))
PARTI PEMBANGKANG SYRIA PERSOALKAN
PILIHANRAYA
Parti-parti
pembangkang Syria mempersoalkan pilihanraya parlimen yang berlangsung pada hari
Isnin lalu. Mereka mendakwa banyak
pencabulan peraturan pilihanraya berlaku.
Keputusan pilihanraya yang sepatutnya dikeluarkan pada hari yang sama,
terpaksa ditangguhkan. Ketua
Jawatankuasa Pilihanraya Syria, Khalaf alAzawi berkata, keputusan dibuat kerana
pengundian semula terpaksa dijalankan di 4 buah pusat pengundian di Damsyik dan
Al-Hasakah.
((AP))
JADUAL PENGUNDURAN TENTERA NATO PERLU
DIPATUHI
Jadual
pengunduran tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO dari Afghanistan
pada tahun 2014 perlu dipatuhi. Canselor Jerman, Angela Merkel, berkata,
anggota tentera NATO mula berkhidmat di Afghanistan pada tarikh yang sama dan
perlu berundur pada jadual yang telah dipersetujui bersama. Beliau menegaskan demikian sebagai reaksi
kepada kenyataan bakal Presiden Perancis, Francois Hollande yang berikrar akan
mengundurkan tentera negara itu dari Afghanistan hujung tahun ini, 2-tahun
lebih awal daripada yang ditetapkan NATO.
((AFP))
WARGA FELDA PEROLEH DURIAN RUNTUH
Durian
runtuh berjumlah 1.689-bilion Ringgit kepada 112-ribu keluarga peneroka FELDA
yang diumumkan Perdana Menteri, Selasa lalu -- BUKTI kerajaan sentiasa prihatin
mengenai nasib dan taraf hidup warga peneroka. Manfaat yang dinikmati daripada
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (F-G-V-H) di Bursa Malaysia itu
menggembirakan seluruh warga Felda.
Mereka menyifatkan ia sebagai hadiah amat bermakna kerana mengambilkira
keperluan setiap golongan peneroka. Fokus hari ini melihat faedah daripada
pengumuman itu bersama CORNELIUS KADIR EDISON:
"Felda
yang bermula di Lurah Bilut pada tahun 1956, kini memasuki fasa terakhir
abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi
mampu berdiri teguh di pentas dunia. Dari perusahaan perladangan kecil-kecilan,
ia berkembang menjadi organisasi pembangunan tanah terunggul di dunia. Kini
tanah rancangan yang diselenggarakan meliputi lebih daripada setengah juta
hektar. Dan sebagai menghargai jerit perit peneroka Felda yang telah banyak berkorban membangunkan
tanah rancangan yang dahulunya hanya kawasan hutan rimba-- kerajaan mengumumkan
durian runtuh bukan sahaja kepada
peneroka malah isteri dan anak, serta seluruh warga kerja Felda. Menurut
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pengagihan tersebut akan dibuat
dalam 3-fasa. Fasa pertama berjumlah 5-ribu ringgit untuk ketua keluarga.
Manakala, fasa kedua dan ketiga akan diberikan kepada isteri peneroka dan
generasi kedua Felda dengan masing-masing sebanyak 5-ribu Ringgit. Kakitangan
Felda di semua peringkat turut menerima bonus khas dua setengah bulan gaji. Melalui pengumuman itu
juga, Datuk Seri Najib berharap, rakyat dapat melihat usaha sebenar kerajaan
memajukan Felda. Ia bukan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab
sebelum ini. Bagi para peneroka, pengumuman durian runtuh sebanyak 15-ribu
ringgit untuk setiap keluarga, jelas membuktikan kerajaan sentiasa bertindak
adil dan menjaga kebajikan mereka. Berkongsi kegembiraan itu Encik Musa
Ibrahim, Puan Rohana Hassan dan Arshad
Puteh. Yang pasti, pengumuman durian runtuh ini menjadi bukti--
penyenaraian F-G-V-H di Bursa Malaysia bukan sahaja akan mentransformasikan
organisasi itu diperingkat antarabangsa, malah bakal melonjakkan taraf
kehidupan dan pendapatan warga Felda. Fokus Sosial-- Cornelius Kadir Edison
untuk Berita Radio RTM."
((PBR))
PIALA AFC -TERENGGANU MARA
Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (A-F-C). Selepas Kelantan, Terengganu turut layak
ke Pusingan Kedua kejohanan. Semalam, Terengganu sekadar seri 2-sama menentang
Kelab Hong Kong, Kitchee FC. Keputusan itu menyaksikan Kitchee menjadi juara
kumpulan, satu mata mengatasi Terengganu, selaku naib juara kumpulan.
((AP))
PIALA AFC
Sementara
itu, kegagalan Terengganu menjuarai kumpulan menyaksikan mereka bakal bertemu
satu lagi wakil negara, Kelantan pada pusingan Kedua Piala AFC. Perlawanan akan
berlangsung 23 Mei ini di Stadium Muhammad keempat di Kota Bharu.
((PORTALSUKAN.COM))
PIALA FA AKHIR
Stadium
Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA edisi ke
22, 19 Mei ini, antara Kelantan dengan Sime Darby FC. Tiket perlawanan akhir
bagi dewasa berharga 40-Ringgit dan kanak-kanak bawah 12 tahun, 5-Ringgit.
Pengerusi jawatankuasa pertandingan Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkannya pada
mesyuarat jawatankuasa pengelola Piala FA di Kelana Jaya.
((PBTV))
KEJOHANAN OLAHRAGA
Kejohanan
Olahraga Jemputan Cayman di Pulau Cayman.
Juara Dunia Yohan Blake dari Jamaica hampir mencatatkan rekod baru tahun
ini bagi acara larian 100 meter. Beliau mencatatkan masa 9.84 saat, namun masih
kurang 0.02 saat daripada catatan masa yang dibuat pemegang rekod dunia Usain
Bolt, awal minggu ini.
((AFP))