Login  |  
BERITA * BERITA DUNIA
Tuesday, February 07, 2012
Berita Dunia 11.00 Pagi 

AHAD, 5 FEBRUARI 2012


EDITOR : HASLINDA HASSAN

PENYAMPAI : NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI

 

  • China mahu lebih banyak perbincangan diadakan -- tangani krisis di Syria.
  • 260 orang maut akibat cuaca sejuk melampau di Eropah.
  • Bekas Menteri Dalam Negeri Sepanyol, dipilih sebagai pemimpin baru Parti Sosialis.

 

KONFLIK POLITIK DI SYRIA

Konflik politik di Syria - China berpendapat lebih banyak perbincangan perlu diadakan berhubung draf resolusi bagi mengakhiri tindakan keras pihak berkuasa Damsyik ke atas rakyatnya.  Demikian menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan wakil China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (P-B-B), Li Baodong.  Li mengecam tindakan badan dunia itu yang enggan menerima cadangan Rusia agar satu kajian munasabah diadakan sebelum draf resolusi berkenaan diluluskan.  Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sehari selepas Beijing mengikut jejak langkah Moscow menentang draf resolusi itu yang dibentangkan di Majlis Keselamatan P-B-B. ((AFP))

 

Sementara itu, negara Barat dan Arab berang terhadap tindakan Rusia dan China menggunakan kuasa veto masing-masing.  Kenyataan Setiausaha Agung P-B-B, Ban Ki-moon menyebut, tindakan berkenaan jelas menjejaskan peranan pertubuhan itu.  Presiden Perancis Nicolas Sarkozy pula menyifatkan ia akan mendorong lebih banyak kekerasan dilakukan rejim Presiden Bashar Al-Assad.13-negara menyokong draf resolusi yang dibentangkan oleh Morocco.  Antara lain kandungannya mendesak agar langkah segera diambil bagi menamatkan keganasan di Syria.  Bagaimanapun draf itu tidak menyebut sebarang sekatan atau tindakan ketenteraan terhadap Damsyik. ((AFP))

 

Di Canberra, Australia kira-kira 40 lelaki menyerang Kedutaaan Syria.  Menurut media tempatan, bangunan kedutaan itu dibaling dengan pelbagai benda, memaksa tiga diplomat berlindung di tingkat bawah tanah.  Mereka mendesak agar Presiden Bashar al-Assad digulingkan.  Turut menerima nasib sama, misi diplomatik Syria di London, Berlin, Kaherah dan Kuwait. ((dpa))

 

ANGKA KEMATIAN AKIBAT CUACA SEJUK MENINGKAT

Angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di Eropah mencecah 260 orang.  Kematian tertinggi dicatat di UKRAINE dengan 122 orang, apabila suhu berada pada negatif 38.1-darjah selsius.  Keadaan memaksa lapangan terbang ditutup, manakala banyak perkhidmatan keretapi ditangguhkan.  Di ITALI, 262 orang terselamat daripada menjadi mangsa cuaca sejuk setelah sebuah feri terperangkap dalam ribut salji. Semua mereka berjaya diselamatkan.  Setakat ini, 32 kematian dilaporkan di seluruh Itali. ((AFP))

 

BEKALAN GAS KE ISRAEL DI SABOTAJ

Lagi tindakan sabotaj terhadap bekalan gas ke Israel.  Sekumpulan lelaki bertopeng meletupkan saluran paip gas di Al-Massaeed berhampiran bandar El-Arish di utara Semenanjung Sinai.  Serangan kali ke-12 itu dilancarkan sehari selepas seorang pemimpin dari kawasan berkenaan meninggal dunia ketika menjalani hukuman penjara di Kaherah.  Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Mesir,  kematian tahanan terbabit tiada kaitan dengan unsur jenayah. ((afp))

Penghantaran gas ke Israel, dipersetujui ketika era pemerintahan Hosni Mubarak.  40-peratus daripada tenaga elektrik Israel dijana menerusi penggunaan gas asli.  Kira-kira 43-peratus bekalannya disalurkan oleh Mesir.  Mesir turut menjadi pembekal utama gas bagi Jordan melibatkan kira-kira 80-peratus. ((AFP))

 

IRAN MINTA TIADA PENAMBAHAN PENGELUARAN MINYAK

Iran meminta OPEC, tidak menambah pengeluaran minyak bagi menampung kekurangan,  ekoran sekatan minyak Kesatuan Eropah terhadap Tehran.  Menurut Menteri Minyak Iran, Rostam Qasemi,  permintaan dikemukakan dalam sepucuk surat kepada Iraq, selaku Presiden OPEC sekarang. ((ber))

 

PENUNJUKA PERASAAN ADAKAN BANTAHA DI NEW YORK

Beratus-ratus penunjuk perasaan mengadakan bantahan di New York dan beberapa bandar di Kanada bagi membantah kemungkinan peperangan dengan Iran. Kira-kira 500 orang berhimpun di Times Square, Manhattan, ibu pejabat misi Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Konsulat Israel. Mereka melaungkan slogan 'tiada peperangan, tiada sekatan, tiada campur tangan dan tiada pembunuhan.  Tunjuk perasaan itu diadakan selepas Eropah dan Amerika Syarikat mengenakan sekatan baru yang lebih keras terhadap Iran. Israel minggu ini mengeluarkan ancaman baru akan mengambil tindakan ketenteraaan, jika Tehran tidak menggantung pembangunan program nuklearnya. ((afp))

 

TENTERA AMERIKA TINGKATKAN SIRI LATIHAN DENGAN EROPAH

Tentera Amerika Syarikat mahu meningkatkan siri latihan dengan negara Eropah.  Komandannya Leftenan Jeneral Mark Hertling berkata, langkah tersebut bertujuan menangani jenayah antarabangsa.  Ia termasuk penyeludupan dadah dan senjata. Setakat ini Washington telah memanggil pulang dua briged tempur dari Jerman, dan mengurangkan saiz angkatannya melibatkan kira-kira 7-ribu askar.  Ia ekoran langkah penjimatan bajet ketenteraan yang diumumkan Pentagon bulan lepas.((Reuters))

 

BEKAS MENTERI SEPANYOL DILANTIK SEBAGAI PEMIMPIN BARU

Bekas menteri dalam negeri Sepanyol, Alfredo Perez Rubalcaba dipilih sebagai pemimpin baru Parti Sosialis Pekerja (P-S-O-E).  Rubalcaba, 60-tahun, berjaya meraih 487-undi, menyingkirkan lawannya, bekas menteri pertahanan Carmer Chacon dengan 465-undi dalam pemilihan parti berkenaan.  Rubalcaba akan menggantikan Jose Luis Rodriguea Zapatero yang telah menerajui P-S-O-E sejak lebih sedekad lalu, dan memegang jawatan Perdana Menteri selama lapan tahun.  Beliau bakal berdepan tanggunjawab untuk menaikkan semula populariti P-S-O-E yang menurun,  bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. Zapatero baru-baru ini mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum 2012 untuk penggal ketiga. ((AFP))

 

GEMPA BUMI DI KANADA

Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.7-pada skala Ritcher melanda Pulau Vancouver di pantai barat Kanada.  Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa itu dikesan pada kedalaman 12-kilometer, 204-kilometer ke selatan bandar Port hardy di pulau itu, dan kira-kira 350-kilometer ke barat bandar Vancouver.  Bagaimanapun tiada ancaman Tsunami dikeluarkan. ((AFP))

 

9 MAUT DALAM SERANGAN DI MEXICO

Sekurang-kurangnya 9-maut dalam satu serangan terhadap sebuah bar di Mexico.  Kejadian berlaku di Ciudad Juarez.  Menurut saksi,  serangan berkenaan membabitkan antara 20 hingga 30 lelaki bersenjata yang dipercayai geng dadah.  Lebih 50-ribu orang dilaporkan terbunuh di Mexico akibat keganasan berkaitan jenayah dadah sejak 2006. ((AFP))

 

3 RAKYAT TIBET MEMBAKAR DIRI

Tiga lagi rakyat Tibet membakar diri dengan seorang daripada mereka maut.  Manakala dua yang lain cedera teruk.  Ia merupakan tindakan protes terbaharu penduduk Tibet terhadap kerajaan China.  Kejadian berlaku di Kampung Puhu, kira-kira 145-kilometer ke bandar Seda.  Demikian menurut laporan gerakan Free Tibet yang berpangkalan di London dan stesen Radio Free Asia yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Dalam protes itu mereka menuntut agar Tibet diberikan kemerdekaan dan Dalai Lama dibenarkan pulang.   Sekurang-kurangnya 16 orang membakar diri di Tibet tahun lalu,  bagi tujuan sama.  ((AFP))

 

EPL-CITY PENDAHULU LIGA

Bola sepak.  Pendahulu LIGA PERDANA INGGERIS, Manchester City menang 3-0 terhadap Fulham.  Selepas mengharungi 24-perlawanan, City kini mengumpul 57-mata, 3-mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester United.  Bagaimanapun, Man-U berpeluang menyamakan jumlah pungutan mata jika menang terhadap Chelsea dalam perlawanan awal pagi esok.  Perlawanan lain menyaksikan Arsenal menang besar 7-1 terhadap Blackburn, Sunderland kalahkan Stoke 1-0 manakala Q-P-R kalah 1-2 kepada Wolves. ((AFP))

 

LIGA SEPANYOL

Beralih ke saingan LIGA PRIMERA di Sepanyol.  Real Madrid menang 1-0 terhadap Getafe.  Gol tunggal perlawanan dijaringkan Sergio Ramos.  "Los Blancos" kini mengumpul 55-mata.  Keputusan lain, Barcelona yang berada di tangga KEDUA mengalahkan Real Sociedad 2-1.  Barca mengumpul 48-mata.  Athletic Bilbao pula seri 3-3 dengan Espanyol, manakala Levante terikat 1-sama dengan Racing Santander. ((AFP/REUTERS)

 

AFRICAN CUP OF NATION

Sementara itu, Ivory Coast mara ke pusingan separuh akhir Piala Negara Afrika.  Dalam perlawanan suku akhir, pasukan itu mengalahkan Equatorial Guinea, 3-0.  Dua daripada gol "The Elephants" dijaringkan penyerang Chelsea, Didier Drogba.  Satu lagi gol diperoleh menerusi Yaya Toure.  Lawan Ivory Coast di separuh akhir sama ada Gabon ATAU Mali.

((AFP))