EDITOR : HASLINDA HASSAN
PENYAMPAI : NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI
PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH - BUKTI DEMOKRASI MASIH TELUS.
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM ANGKAT SUMPAH SEBAGAI ANGGOTA PARLIMEN, ESOK.
RUSUHAN DI THAILAND- POLIS KETATKAN KAWALAN DI RUMAH KERAJAAN.
DEMOKRASI NEGARA TERBUKA DAN TELUS
Demokrasi negara tetap wujud dan ia sentiasa segar. Buktinya, pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, yang diadakan semalam, jelas menunjukkan sistem demokrasi di negara berjalan secara terbuka dan telus. Ia sekaligus menolak tohmahan sesetengah pihak bahawa proses pilihanraya di negara ini dibayangi pengaruh Kerajaan. Demikian menurut Veteran UMNO, Tan Sri Aisha Ghani. Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal pilihanraya kecil itu dicemari keganasan. Tan Sri Aisyah berkata demikian ketika dihubungi Berita Radio, RTM.
“Walaubagaimanapun bagi saya kemenangan Anuar itu, pihak BN pun terima dengan hati terbuka, Datuk Najib cakap ini menunjukkan demikrasi yang subur. Ada kalah ada yang menang itu biasa. Walaupun pihak PKR ada banyak yang menyatakan banyak perkara-perkara , apa yang dilakukan tak septutnya berlaku dalam kempen-kempen pilihanraya, kalau ada pilihanraya yang akan datang, pihak-pihak yang bertanding itu hendaklah memberi perhatian supaya kempen pilihanraya yang dijalankan hendaklah jangan melampauhi Batas”
((PBR))
PERMATANG PAUH BUKAN ANCAMAN
Pemerhati politik Dr Lee Yok See pula berkata keputusan Pilihanraya itu bukan satu ancaman kepada BN mahupun kerajaan.
“Proses demokrasi dinegara kita semakin naik dikalangan masyarakat Malaysia. Kita menggunakan wakil rakyat untuk menyampaikan suara di peringkat kebangsaan di peringkat pusat kerajaan. Bagi saya perkara itu memang telah lama wujud di dalam politik negara kita dan kita melihat keputusan pilihanraya itu, corak undi itu tidak menjejaskan BN”
((PBR))
PENASIHAT PKR-ANGKAT SUMPAH
Dalam pada itu, Penasihat P-K-R, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi pilihanraya kecil itu, akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen esok. Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pengumuman dibuat dalam persidangan Dewan Rakyat. Katanya, segala urusan angkat sumpah dan aturan mesyuarat akan dimaklumkan kepada dewan kemudian.
((BERNAMA))
DEWAN RAKYAT-WARGA ASING
Sementara itu, dalam sesi soal jawab, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pelbagai langkah dan pendekatan telah diambil kerajaan dalam usaha menangani kes-kes membabitkan warga asing di negara ini.
“mulai tahun 2005, semua PATI yang diusir ke negara asal akan diambil biometrik ini mampu disimpan dalam sistem komputer dan boleh digunakan dalam menyemak , sekiranya seorang warga asing telah diusir dari negara ini kerana melakukan apa-apa kesalahan begitu juga pati yang diusir wajib diambil biometrik mereka . Langkah ini dapat menghalang warganegara yuang telah disenarai hitamkan oleh kerajaan dari memasuki semula negara ini”
((PBR))
DEWAN RAKYAT-KPKT
Dewan juga diberitahu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sentiasa memberi perhatian untuk menampung corak urbanisasi yang melibatkan keperluan masyarakat bandar dan mereka yang baru berhijrah ke bandar. Menurut Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Hamzah Zainuddin, ia sudahpun terkandung dalam Dasar Perbandaran Negara yang dilancarkan 2006.
“Keperluan ini telah pun di berikan perhatian dalam dasar Perbandaran negara ( DPN ) yang telah dilancarkan oleh KPKT pada tahun 2006,DPN adalah bertujuaan untuk mewujudkan bandar berwawasan dengan komuniti kehidupan yang sejahtera menerusi pembangunan perbandaraan yang mantap.Teras 2 DPN memberi perhatian kepada isu kemiskinan bandar dimana pembangunan ekonomi bandar yang kukuh , dinamik berdaya saing telah menjadi tumpuan pertama KPKT sehubungan ini setiap kementerian , jabatan dan agensi terlibat dengan perancangan pembangunan dan pengurusan perkhidmatan perbandaran dikehendaki melaksanakan program berdasarkan strategi dan pelan tindakan dirangka bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dalam DPN dapat dicapai”
((PBR))
DASAR WANITA
Penggubalan pelbagai dasar yang dilaksana Kerajaan mampu meningkatkan penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Katanya, kejayaan wanita menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta jelas membuktikan Kerajaan komited dan prihatin terhadap kemajuan golongan itu di negara ini. Malah, pelbagai usaha turut dilakukan bagi memelihara dan melindungi hak serta kepentingan kaum wanita. Langkah itu diambil memandangkan golongan itu kini berperanan besar dalam membawa negara ke arah dimensi baru di era globalisasi. Beliau berucap merasmikan Seminar Wanita Pengurusan Hal Ehwal Islam Peringkat Kebangsaan di Bangi.
((PBR))
PM-BRUNEI
Sempena Majlis Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei Ke-12 di Johor Bahru. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengiringi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mendengar taklimat mengenai pembangunan Iskandar Malaysia. Taklimat 15 minit itu disampaikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia, IRDA Datuk Ikmal Hijaz Hashim. Kedua-dua pemimpin itu turut melakukan tinjauan pembangunan di wilayah ekonomi berkenaan melalui udara. Rombongan kemudiannya menghadiri majlis santapan tengahari bersama Sultan Johor, Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
((PBR))
ASEAN- MUHYIDDIN
ASEAN sepakat untuk mengadakan penerangan bergerak di rantau terpilih bagi menarik pelaburan. Sekaligus meningkatkan potensi ASEAN sebagai sebuah hab pelaburan. Kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat Menteri-Menteri ekonomi Asean di Singapura. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu berkata, melalui sesi penerangan tersebut, ia mampu menarik pelaburan secara kolektif. Katanya, pelbagai inisiatif lain telah diambil di peringkat nasional di antara Menteri, Kerajaan dan sektor swasta bagi mengurangkan halangan dalam perdagangan di rantau ini. Ia bagi mendesak diwujudkan liberalisasi ekonomi yang memberi impak lebih besar dalam sektor perdagangan. Tegasnya, Asean juga akan mengambil langkah-langkah terbaik bagi memastikan tempoh yang ditetapkan untuk mencapai komuniti ekonomi Asean 2015, dapat dicapai. Beliau berkata demikian di Singapura.
((PBTV))
KEMILAU 51-PERLIS
Kemerdekaan negara tinggi nilainya. Ia perlu diwarisi generasi muda dengan pengisian bermakna. Hasrat itu disuarakan oleh tokoh pejuang kemerdekaan negara dari Perlis - Haji Abdul Malek Abdul Ghani. Kemilau 51 menyingkap kisah perjuangannya dalam UMNO dan kemerdekaan negara. Bersama wartawan Izuani Abdul Wahab.
“Haji Abdul Malek Abdul Ghani kini menjangkau usia 78 tahun. Tetapi usia yang sudah lanjut itu tidak sedikit pun menghakis semangat kebangsaan yang begitu menebal dalam jiwa dan sanubarinya. Namun begitu sinonim dengan politik UMNO Perlis atas sumbangan yang dicurahkan untuk kemajuan budaya bangsa selain menjadi pendidik dan aktif dalam kerja-kerja sosial. Atas kegigihan dan semangatnya yang tidak luntur menarik orang Melayu menyertai UMNO dan memperjuangkan kemerdekaan,beliau diberi kepercayaan menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Perlis pada tahun 1954. Sejak menjawat jawatan itu, beliau semakin aktif berkempen menentang Malayan Union bersama-sama rakan seperjuangannya di Perlis. Beliau yang pernah menjadi ahli Dewan Negara pada tahun 1999 menyifatkan perjuangan ketika itu dilakukan semata-mata untuk kemerdekaan negara. Begitupun,detik paling manis beliau ialah diberi penghormatan menurunkan bendera Union Jack di Padang Bandaran Kangar ketika era penjajahan. Peristiwa bersejarah pada malam menjelang 31 Ogos 1957 itu turut disaksikan ribuan penduduk Perlis yang hadir bagi bersama-sama meraikannya. Izuani Abdul Wahab melaporkan untuk berita Radio RTM”
((PBR))
THAILAND-MEDIA
Krisis politik Thailand. Pakatan Media Asia Tenggara dan Persatuan Wartawan Thailand menyelar tindakan kumpulan anti-kerajaan menceroboh stesen televisyen negara itu. Kedua-dua persatuan itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar sama sekali dan membahayakan nyawa wartawan. Menurut mereka, pembangkang boleh mengkritik stesen televisyen yang memihak kepada kerajaan. Namun, tindakan menggunakan kekerasan dan keganasan tidak boleh diterima sama sekali. Sehubungan itu, kedua-dua persatuan itu menyeru pemimpin Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi, P-A-D menghentikan tindakan sedemikian.
((AFP))
THAILAND-TAHAN PENUNJUK PERASAAN
Setakat ini, polis menahan 85 orang penunjuk perasaan selepas mereka cuba menawan stesen televisyen negara, semalam. Hari ini, polis cegah rusuhan mengambil kedudukan di perkarangan Rumah Kerajaan. Sementara itu pihak berkuasa berunding dengan pembangkang untuk mencari penyelesaian damai bagi menamatkan bantahan anti-kerajaan.
((AFP))
MINYAK MELONJAK
Harga minyak mentah dunia melonjak mencecah paras 117-dollar setong dalam pasaran Asia. Kenaikan berlaku kesan daripada ancaman bencana Taufan Gustav di Teluk Mexico dan ketegangan politik antara Russia dengan dunia Barat. Kontrak minyak mentah light sweet bagi penghantaran bulan Oktober naik 0.67-dollar kepada 116.94-dollar setong. Kontrak minyak Brent North Sea pula menokok 0.23-dollar kepada 114.86-dollar setong.
((AFP))
VIETNAM-TURUN HARGA MINYAK
Sementara itu, harga runcit petrol di Vietnam turun lagi. Selepas dikurangkan sebanyak 5.3-peratus pada 14-Ogos lepas, harganya diturunkan sebanyak 5.6-peratus lagi, hari ini. Berikutan itu, berkuatkuasa serta merta petrol RON-92 dijual pada harga 17-ribu Dong atau bersamaan 3-Ringgit 46-sen seliter, berbanding harga lama 18-ribu Dong atau 3-Ringgit 67-sen. Harga baharu petrol gred RON-95 pula ditetapkan kepada 17-ribu 500-Dong atau 3-Ringgit 56-sen seliter, lebih rendah berbanding harga lama 18-ribu 500-Dong atau 3-Ringgit 77-sen.
((AFP))
JEPUN-RUSSIA
Tindakan Rusia mengiktiraf kemerdekaan Ossetia Selatan dan Abkhazia turut dikecam Jepun. Ketua Setiausaha Kabinet, Nobutaka Machimura berkata, masyarakat antarabangsa tidak akan menerima keputusan Rusia mengiktiraf kedua-dua wilayah yang ditadbir Georgia itu. Bagaimanapun, beliau menolak hakikat yang bantahan Tokyo terhadap tindakan Moscow itu akan mencetuskan semula perang dingin.
((AFP))
RUSSIA-GEMPA BUMI
Gempa bumi kuat berukuran 6.3-skala Richter melanda Tasik Baikal, kawasan selatan Russia. Gegaran mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan talian komunikasi di bandar Irkutsk. Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan besar dilaporkan. Menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa tersebut dikesan berpusat 64-kilometer dari selatan Irkutsk.
((AFP))
TENIS-GRAND SLAM
Tenis kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat. Roger Federer memulakan kempen memburu gelaran buat kali ke-5 dengan kemenangan bergaya. Pemain nombor 2 dunia itu mudah mengetepikan Maximo Gonzalez dari Argentina dalam aksi pusingan awal. Federer mencatat kemenangan mudah 6-3, 6-0 dan 6-3. Terdahulu, pilihan ke-11 Fernando Gonzalez berjaya mengesahkan tempat di pusingan kedua. Dia layak menerusi kemenangan 7-6, 6-3, 4-6 dan 7-6 terhadap Ivan Navarro. Mengiringi Gonzalez ialah pemain Jerman, Tommy Haas. Dia mara setelah mengecewakan pilihan ke-12, Richard Gasquet dengan keputusan 6-7, 6-4, 5-7, 7-5 dan 6-2. Berbeza dalam saingan perseorangan wanita. Pilihan utama Ana Ivanovic terpaksa bertarung selama lebih 2-jam sebelum dapat memastikan tempat dipusingan seterusnya. Pemain Serbia itu mara hasil kejayaan menundukkan Vera Dushevina dengan 6-1, 4-6 dan 6-4. Aksi lebih menyakinkan pula dipamer pemain adik-beradik Serena dan Venus Williams yang mudah melepasi halangan awal. Serena, pemain pilihan ke-4 mengalahkan Kateryna Bondarenko 6-1, 6-4 manalala juara 5-kali Wimbledon, Venus menumpaskan Samantha Stosur dengan keputusan 6-2, 6-3.
((AFP-DPA))