EDITOR : HASLINDA HASSAN
PENYAMPAI : YOYO AINLAINA BAHARUDDIN
PELAN PEMBANGUNAN STRATEGIK JADIKAN FELDA TERKEMUKA DIPERINGKAT GLOBAL, AKAN DIUMUMKAN TIDAK LAMA LAGI.
HARGA MINYAK MUNGKIN DITURUNKAN LAGI.
KRISIS RAMPASAN PESAWAT SUDAN SEKURANG-KURANGNYA 23-PENUMPANG DIBEBASKAN.
TPM- FELDA
Pelan pembangunan strategik yang akan membawa Felda ke peringkat lebih tinggi sebagai pelaku global terkemuka, akan diumumkan tidak lama lagi. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelan berkenaan telah mendapat kelulusan kabinet. Kualiti modal insan merupakan antara elemen yang diambilkira untuk menentukan pelan strategik berkenaan. Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Promosi Bufet Ramadhan D'Saji dan memperkenalkan Kumpulan Pertama Pelajar di Bawah Program Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara di Ibu Negara.
((PBTV))
TPM-INSAN
Mengulas lanjut, Datuk Seri Najib berkata seramai 36 generasi kedua Felda menjadi kumpulan pertama menyertai Program Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara. Mereka akan menyambung pengajian di Universiti terkemuka di Ireland, Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam bidang perubatan, bioteknologi, ekonomi dan perakaunan, mulai September ini. Bagi tujuan itu, FELDA memperuntukkan 2-juta ringgit setiap tahun.
"Pembiayaan berjumlah RM50 Juta untuk pelajar anak-anak warga FELDA yang mendapat keputusan yang baik tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA yang sedia ada. Program Diploma dalam bidang kejuruteraan, perakaunan, penyiaran, komputer, reka bentuk, telekomunikasi, kejururawatan dan sebagainya telah ditawarkan. Kursus Jurutera Penyenggaraan Penerbangan berlesen (Licensed Aircraft Maintenance Engineer) di MAS adalah satu-satu kursus yang sudah pasti mencabar dan menarik minat pelajar-pelajar dari golongan FELDA ini"
((PBR))
DEWAN RAKYAT-MINYAK
Sidang Dewan Rakyat- Kerajaan akan menurunkan lagi kadar harga minyak mengikut harga di pasaran dunia. Ia bagi meringankan lagi bebanan rakyat. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Encik Jelaing Mersat berkata tindakan itu akan dibuat selepas Kerajaan menilai semula perkara berkenaan dalam masa dua minggu atau sebulan. Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab.
((BERNAMA))
DEWAN RAKYAT-NPL
Dewan juga diberitahu nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (N-P-L) bersih telah berkurangan daripada paras 3.2 peratus, Disember tahun lepas kepada 2.7 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun lepas. Dalam tempoh yang sama, jumlah N-P-L bersih bagi sistem perbankan turut menurun daripada 20 bilion ringgit kepada 17.7 bilion ringgit. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata paras itu merupakan tahap terbaik sejak krisis kewangan Asia yang lepas yang merekodkan nisbah N-P-L pada Disember 1998 berada pada paras 13.6 peratus.
((BERNAMA))
PANDIKAR-ANGKAT SUMPAH
Sementara itu, diruang legar Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan kehadiran semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen, mulai esok sebagai pembangkang, tidak akan memberi sebarang tekanan kepada Dewan. Sebaliknya, sesi soal jawab akan berlangsung seperti biasa.
“Saya bercakap dengan ikhlas, bagi saya ianya seperti biasa. Malahan saya menganggap bahawa apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dipilih oleh parti-parti pembangkang sebagai ketua, saya jangka keputusan saya adalah mesti ada dcorum. Mungkin datuk serf Anwar Ibrahim boleh mengawal ahli-ahli yang berhormat daripada pembangkang supaya tidak bersikap keterlaluan dan mengikuti peraturan-peraturan mesyuarat. Itu yang saya mahu sebagai Yang DiPertua”
((PBR))
WANITA UMNO-ANWAR
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata kemenangan Datuk Seri Anwar dalam Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh membuktikkan Malaysia melaksanakan sistem demokrasi. Katanya, Kerajaan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan menghormati keputusan mereka. Sehubungan itu, beliau berharap tidak akan ada lagi tohmahan yang dilemparkan kepada Barisan Nasional, BN dan Suruhanjaya Pilihanraya bahawa ia menafikan amalan demokrasi. Tan Sri Rafidah juga yakin kemenangan Datuk Seri Anwar tidak akan mempengaruhi mana-mana ahli Parlimen BN untuk menyertai pakatan pembangkang-
“Saya yakin akan kesetiaan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional kerana perjuangan kita lebih besar dari perjuangan nak menegakkan seseorang menjadi perdana menteri. Jadi kita ada mandat yang diberikan oleh rakyat sebagai kerajaan Barisan Nasional dengan majoriti yang ada dan insyaallah saya rasa kita boleh teruskan dan saya yakin tidak akan ada ahli-ahli parlimen yang akan berpaling tadah. Kalau itu tidak berlaku maka mimpinya tidak akan jadi realiti”
((PBR))
REAKSI-PERMATANG PAUH
Di Singapura, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan penasihat PKR itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, semalam adalah sesuatu yang dijangkakan. Ini harus diterima kerana ia merupakan suara rakyat. Bagaimanapun, katanya, kemenangan itu tidak boleh dipandang ringan oleh BN. Post-mortem perlu diadakan dan usaha untuk mempercepatkan program pemulihan UMNO serta langkah-langkah untuk menjenamakan semula BN, harus dilakukan segera melalui pendekatan baru dengan cara-cara yang boleh diterima rakyat.
((BERNAMA))
BAJET 2009-PENGGUNA
Menjelang pembentangan Bajet 2009, Jumaat ini- Persatuan Pengguna-pengguna Prihatin Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mahu satu mekanisma yang sesuai diwujud bagi membolehkan pengguna menangani kesan kenaikan perbelanjaan isi rumah. Menerusinya, pengguna akan bersedia menerima sebarang kenaikan harga secara rasional. Demikian dinyatakan Setiausahanya, Encik Mohamad Asri Shafie. Ketika dihubungi berita radio RTM, beliau juga berharap perbelanjaan isi rumah yang kini meningkat sebanyak 30-peratus, dapat dikurangkan-
“Kalau kita lihat daripada sejak kenaikan harga bahan api petrol dan diesel oleh kerajaan , jadi tidak langsung berlaku pemindahan kepada pembelanjaan harian isi rumah, jadi kenaikan sebenar membebankan dan dalam masa panjang, ia merupakan satu perubahan yang amat besar yang perlu dilalui oleh kesemua pengguna di Malaysia. Jadi kita harapkan sesuatu antara harha, yang kita fikir sekaran ini ialah kalaulah kerajaan boleh memberi sesuatu dalam bentuk mekanisma antaranya ialah penurunan semula harga bahan bakar tersebut. Beberapa perkara lain yang bersangkutan dengan kenaikan bahan bakar masih tidak dapat lihat dalam jangka terdekat”
((PBR))
RTB-MESYUARAT
Brunei tetap mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal sebarang kemasukan bahan-bahan kimia yang disenaraikan dalam Konvensyen Penyeludupan Dadah Narkotik dan Bahan-bahan Psikotropik -- walaupun belum mendapat sebarang bukti perbuatan itu di makmal-makmal seluruh negara. Ini ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Paduka Haji Eusoff Agaki. Beliau berucap merasmikan majlis pembukaan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Dadah, ke 29 di Bandar Seri Begawan. Laporan Hajjah Salbiah Haji Munap-
“Menurut Dato' Seri Paduka Haji Eusoff, bagi mengelakkan para penyeludup melakukan sebarang aktiviti perniagaan dadah di Negara Brunei Darussalam, negara mesti memusnahkan aktiviti menjual dan menghasilkan dadah tersebut dengan menghalang dan merampas serta membekukan sumber-sumberkewangan penyeludup. Bagi mencapai hasrat ini, negara perlu bekerjasama dalam menjejaki kegiatan jenayah ini. Selain itu, menurutnya undang-undang juga dapat diadaptasi bagi memberi penguatkuasaan yang lebih efektif dan menyediakan peringkat pencegahan yang tinggi. Matlamat mesyuarat antaranya bertukar-tukar maklumat mengenai tren dadah semasa di Asia Tenggara, bagi mengenalpasti tahap penyalahgunaan dadah dan penyeludupan dadah di rantau ini serta untuk menghasilkan dasar-dasar terkini dalam langkah pengawalan dan pencegahan dadah melalui penguatkuasaan undang-undang, pendidikan pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan, pembangunan sumber-sumber tenaga, kerjasama serantau dan antarabangsa serta pembangunan alternatif. Hajah Salbiah Haji Munap melaporkan dari Bandar Seri Begawan untuk pertukaran berita RTB-RTM”
((PBR))
SUDAN-RAMPAS PESAWAT
Krisis rampasan pesawat Sudan. Kumpulan perampas membenarkan sekurang-kurangnya 23-penumpang, terdiri daripada 14-wanita dan 9-lelaki keluar meninggalkan pesawat. Perkara itu didedahkan seorang pegawai kerajaan Libya di lapangan terbang Kufra, tenggara negara itu. Pihak perampas setuju berbuat demikian setelah dipujuk perunding kerajaan Libya. Pesawat Boeing 7-3-7 milik Sun Air itu dirampas sejurus berlepas dari lapangan terbang di Nyala, bandar utama di wilayah bergolak Darfur. Ia menyebabkan sekitar 100-penumpang dan anak kapal dijadikan tebusan. Pesawat itu kemudian mendapat keizinan mendarat di lapangan terbang Kufra, Libya kerana kehabisan minyak.
((AFP))
ZIMBABWE
Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe bertegas mahu membentuk kerajaan baharu meskipun rundingan perkongsian kuasa dengan pembangkang, gagal mencapai objektifnya. Akhbar Zimbabwe, The Herald memetik Mugabe sebagai berkata, beliau akan melantik para menteri yang dilihat berdedikasi. Mugabe menyatakan perkara itu semasa merasmikan pembukaan sidang parlimen semalam.
((AFP))
RUSIA-UKRAINE
Russia mungkin menjadikan Ukraine dan Moldova sebagai sasaran selepas menyerang Georgia dan seterusnya mengiktiraf kemerdekaan Ossetia Selatan serta Abkhazia. Menteri Luar Perancis, Bernard Kouchner berkata, beberapa juruanalisis meramalkan anggota tentera Kremlin mungkin mengiktiraf kemerdekaan wilayah Crimea yang terletak di selatan Ukraine, jika Presidennya Viktor Yushchenko terus menunjukkan sokongan terhadap Tbilisi dan berusaha untuk menjadi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO. Wilayah Crimea didiami oleh majoriti etnik Russia. Wilayah Transdniestr di Moldova yang terletak di timur Rusia pula, sejak beberapa tahun lalu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Russia selepas keruntuhan Soviet Union. Bagaimanapun, ia tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
((AFP))
BRITAIN-BUNUH
Susulan cubaan membunuh Perdana Menteri Britain, Gordon Brown. Polis Greater Manchester menahan seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam komplot untuk membunuh Brown. Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Derby, bahagian tengah England. Setakat ini, 3 orang ditahan berhubung kes berkenaan. Polis sedang menyoalsiasat ketiga-tiga suspek yang ditahan pada 14 Ogos lalu.Minggu lalu, Perbadanan Penyiaran Britain, B-B-C melaporkan, 3 orang lelaki ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan ancaman yang dikeluarkan di laman web untuk membunuh Brown dan mantan Perdana Menteri Tony Blair.
((AP))
JEPUN-KOREA
Tokyo yakin Pyongyang akan meneruskan siasatan berhubung nasib rakyat Jepun yang diculik oleh ejen-ejen Korea Utara. Ketua Setiausaha Kabinet, Nobutaka Machimura, menyatakan keyakinannya itu disebalik kenyataan Korea Utara semalam yang menimbang untuk mengaktifkan semula logi nuklearnya di Yongbyon. Pyongyang sedang menimbang untuk membatalkan kerjasama menghentikan program nuklearnya itu kerana mendakwa Washington gagal mengotakan janji untuk menggugurkan Pyongyang daripada senarai negara penaja keganasan.
((AFP))
GRAND SLAM US OPEN
Tenis, kejohanan Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat. Bekas jaguh dunia, Amelie Muresmo berjaya mengesahkan tempat di pusingan kedua. Pilihan ke-32 itu mara dengan mengetepikan rakan senegaranya dari Perancis, Nathalie Dechy. Mauresmo menang 4-6, 6-3 dan 6-2, sekaligus menebus kekalahannya ditangan Dechy di Cincinati awal bulan ini. Dalam pusingan seterusnya, Mauresmo akan turun menentang pemain kurang ternama dari Estonia, Kaia Kanepi. Sementara itu, jaguh Serbia Novak Djokovic akan memulakan misi untuk mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia hari ini. Dalam puisngan pertama, Djokovic selaku pilihan ke-3 diundi bertemu Arnaud Clement dari Perancis. Setelah muncul naib juara dalam edisi kejohanan tahun lepas, Djokovic kini mempunyai misi untuk merapatkan jurang kutipan mata dengan pemain nombor satu Rafael Nadal dan Roger Federer ditangga kedua.
((REUTERS))
PARALIMPIK
Akhir sekali, persiapan menjelang temasya Sukan Paralimpik 2008 di Beijing. Pihak penganjur akan mengerah sejumlah 350-ribu penonton untuk memeriahkan suasana kejohanan yang berlangsung bulan depan. Menurut akhbar Beijing Times, kehadiran mereka diselaraskan oleh Persekutuan Kesatuan-kesatuan Sekerja Beijing. Sepanjang temasya itu nanti, "ahli kumpulan sorak" itu akan dihantar untuk memenuhi acara-acara sukan yang dianjurkan di 17-gelanggang tersedia. Jualan tiket bagi paralimpik Beijing dilaporkan lembab dan kurang mendapat sambutan. Difahamkan, setakat ini hanya sebanyak satu pertiga tiket yang berjaya dijual. Paralimpik 2008 Beijing akan berlangsung mulai 6-hingga 17 September ini.
((AFP))