Login  |  
BERITA
Saturday, November 22, 2008
Location: BlogsKIOS BERITA    
Posted by: timbradmin 8/28/2008 5:40 PM

EDITOR: NAZRI ABDULLAH

 

PENYAMPAI: SITI AISYA MELISA YUHANIZ

 

 

KERAJAAN SETUJU LAKSANAKAN LIBERALISASI PERKHIDMATAN BAS EKSPRES DENGAN PERKENALKAN "KELAS PERDANA".

 

 70-RIBU NELAYAN AKAN MENERIMA BANTUAN SARA HIDUP, 200-RINGGIT SEBULAN.

 

 

PERDANA MENTERI THAILAND BERIKRAR TANGANI BANTAHAN TERHADAP KEPIMPINANNYA, TANPA MENGGUNAKAN KEKERASAN.

 

 

RETORIK

 

Urus tadbir agama tidak seharusnya menekankan aspek retorik, semata-mata. la tidak menyumbang kepada mutu kerja yang berkesan. Ini ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berucap melancarkan program Wakaf AI-Quran dan Salam Ramadhan, peringkat kebangsaan 1429-Hijrah di Kuala Lumpur. Menurut Datuk Seri Najib, kerajaan sentiasa proaktif dan mencari formula baharu dalam menjana kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya:

 

"Kerajaan akan terus memastikan sistem urus tadbir agama dalam keadaan teratur, disegani dan boleh dicontohi oleh orang lain. Kita tidak mahu urus tadbir agama dan harta awam dibuat ala kadar, tanpa melihat perubahan persekitaran yang lebih kondusif dan berdaya saing. Barulah nanti kelangsungan harta yang disumbangkan dalam bentuk zakat, wakaf dan sedekah dapat dikendalikan dengan efisyen dan telus."

((PBR))

 

 

TIKET BAS

 

Pengusaha bas dibenar mengenakan surcaj 30-peratus terhadap harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. la bagi membantu pengusaha bas mengurangkan kos operasi. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, kadar surcaj, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15-September, adalah langkah sementara sebelum keputusan dibuat mengenai kenaikan kadar tambang bas ekspres selepas musim perayaan. Beliau bercakap dalam sidang media di ruang legar Parlimen.

 

Datuk Noh juga berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan liberalisasi perkhidmatan bas ekspres dengan memperkenalkan "Kelas Perdana" di samping mengekalkan perkhidmatan ekonomi dan eksekutif sedia ada. Spesifikasi jenis perkhidmatan itu berasaskan kepada kadar tambang, muatan tempat duduk dan kemudahan yang disediakan. Katanya, kadar tambang bagi perkhidmatan ekonomi akan dikawal oleh kerajaan seperti sedia ada bagi memastikan kepentingan pengguna khususnya yang berpendapatan rendah akan terjaga.

 ((PBR))

 

 

NELAYAN

 

70-ribu nelayan di seluruh negara akan diberi bantuan sara hidup sebanyak 200-Ringgit sebulan, mulai 10-September ini. la membabitkan perbelanjaan sebanyak 14-juta Ringgit. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, insentif itu diharapkan dapat membantu nelayan menghadapi tekanan berikutan kenaikan harga minyak. Beliau berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), kali ke-23.

Setakat ini, hanya 16-ribu nelayan yang memiliki "Kad Nelayan" layak menikmati elaun itu kerana telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan. Kad Nelayan itu diperkenalkan pada 4-Jun lepas.

((BERNAMA))

 

 

PLKN

 

Jadual latihan di semua Pusat Latihan Khidmat Negara disusun semula. la bagi mengurangkan beban pelatih beragama Islam, menjalani ibadat puasa, bulan depan. Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. Beliau bercakap kepada pemberita di Sandakan, Sabah.

((BERNAMA))

 

 

RUKUN NEGARA

 

Institusi pendidikan mampu menerapkan prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang dasar kebangsaan dalam membentuk masyarakat pelbagai kaum dan agama yang bersatupadu. Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, institusi itu juga boleh menjadi penjana semangat merdeka secara berterusan dalam kalangan generasi muda. Beliau berkata demikian di Kuala Lumpur ketika melancarkan penerbitan semula buku Rukun Negara.

 

Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie berkata, perpaduan merupakan tunggak bagi sesebuah negara yang berbilang bangsa. Sehubungan itu, rakyat perlu menerapkan nilai-nilai kecintaan kepada tanahair bagi memastikan kejayaan dan pembangunan negara berterusan sehingga ke generasi akan datang.

((PBR))

 

 

DNA

 

Rang Undang-undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (D-N-A) 2008 dicadang dibawa kepada jawatankuasa khas untuk diperhalusi terlebih dahulu sebelum dibentang dan dibacakan semula di Dewan Rakyat. Cadangan dibuat oleh Anggota Parlimen Gombak, Encik Azmin Ali. Beliau mengemukakan cadangan itu semasa membahaskan rang undang-undang berkenaan.

 

Wakil Silam, Encik Salleh Khalbi pula berkata, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak mempertikaikan kewibawaan atau kredibliti Jabatan Kimia dan Polis dalam mengendalikan bank data D-N-A berkenaan. Beliau turut mencadangkan ditubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi MEMPERKUKUH kepastian agar apa yang dilakukan Jabatan Kimia dan Polis, tidak dipertikaikan.

 

Ketika menggulung perbahasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, hasil analisa sampel D-N-A yang diambil tidak boleh dipinda. Kualitinya dipantau agar memenuhi piawaian antarabangsa. Katanya, Jabatan Kimia diberi kuasa untuk mengesahkan sampel-sampel yang diperoleh oleh pihak polis. Beliau juga memberi jaminan, bahawa data ataupun profil yang disimpan dalarn bank data D-N-A itu tidak akan dimanipulasi atau disalahguna.

((PBR))

 

 

ASEAN - PERJANJIAN

 

Rundingan perdagangan bebas antara ASEAN dengan Australia dan New Zealand, selesai. Pengumuman mengenainya dibuat semasa mesyuarat tahunan para menteri ekonomi ASEAN di Singapura. Perjanjian berkenaan diharap dapat dimeterai Disember ini. Perjanjian menyeluruh itu meliputi pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, termasuk kewangan dan pelaburan serta pelbagai sektor lain. Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia dan New Zealand bermula pada Mac tahun 2005.

((AFP))

 

 

THAILAND – SAMAK SUNDARAVEJ

 

Perdana Menteri Thailand, Samak Sundaravej berikrar untuk menamatkan perhimpunan besar-besaran membantah kepimpinannya, tanpa menggunakan kekerasan. Jelas Samak, polis tidak akan menyerbu perkarangan Rumah Kerajaan, sebaliknya menunggu sehingga penunjuk perasaan menyerah diri. Langkah itu diambil bagi mengelak pertumpahan darah. Kenyataan tersebut bagaimanapun dilihat seolah-olah membenarkan perhimpunan anti-kerajaan di perkarangan Rumah Kerajaan, berterusan.

((AFP))

 

 

ZIMBABWE

 

Presiden Robert Mugabe tetap meneruskan rancangan untuk membentuk kerajaan baharu. Keputusan itu sekaligus mengetepikan amaran pembangkang berhubung isu perkongsian kuasa. Pembangkang sebelum ini mengingatkan, rundingan perkongsian kuasa dengan kerajaan akan tergugatjika Mugabe tetap dengan pendiriannya untuk membentuk kerajaan baharu. Pembantu Menteri Penerangan, Bright Matonga menegaskan, Zimbabwe perlu segera membentuk sebuah kerajaan bagi membolehkan usaha memulihkan ekonomi segera dilaksanakan. la penting bagi mengelakkan rakyat daripada terus menderita akibat krisis pucuk pimpinan.

((AFP))

 

 

FILIPINA

 

Kubu kuat pemisah di selatan Filipina kini berada dalarn kawalan pihak berkuasa. Laporan media menyebut, selepas pertempuran sengit yang meragut lebih 150-nyawa beberapa minggu lepas, Kern Bilal akhirnya dikuasai askar kerajaan, pagi tadi. Perkara itu dinyatakan oleh Kapten Maamo Alonto kepada pihak media di Iligan. Menurutnya, Kem Bilal sebelum ini dikuasai kumpulan pemberontak diketuai Abdurahman Macapaar atau 'Komander Bravo'. Dia merupakan antara pemimpin kanan Barisan Pembebasan Islam Moro yang mengawal sebahagian besar wilayah pergunungan Lanao di Mindanao.

Kern Bilal merupakan pusat latihan bagi pejuang M-I-L-F yang dibina di atas tanah seluas 100-hektar.

((AFP))

 

 

AL QAEDA

 

Di Yaman, pihak berkuasa negara itu menahan 30-suspek anggota kumpulan AI-Qaeda yang dipercayai merancang serangan di Arab saudi. Menurut polis, kesemua lelaki itu ditahan di tenggara Wilayah Hadhramout. Polis berjaya membongkar tempat persembunyian Kumpulan AI-Qaeda selepas menerima maklumat mengenai suspek. la diperoleh melalui dokumen dan data komputer yang ditemui di rumah seorang suspek AI-Qaeda dalam satu serbuan di bandar Tarim, 12-Ogos lalu.

((DPA))

 

 

PAKISTAN

 

Sekurang-kurangnya 13-terbunuh dalam serangan berani mati terhadap sebuah van yang membawa banduan di wilayah pedalaman barat laut, Pakistan. Serangan berlaku di pinggir bandar Bannu, 200-kilometer ke selatan wilayah tersebut. Saluran berita Televisyen Pakistan melaporkan antara yang terbunuh, 9-orang anggota polis yang berada di dalam van berkenaan. Penyerang dipercayai memandu kereta yang sarat dengan bahan letupan lalu merempuh van terbabit yang sedang menyeberang sebuah jambatan.

 

 

Dalam pada itu, ratusan peguam Pakistan berhimpun di Lahore bagi mendesak kerajaan melantik semula berpuluh-puluh peguam yang disingkirkan mantan Presiden, Pervez Musharraf. Bantahan serupa turut diadakan di beberapa bandar utama lain seperti Kerachi Multan dan Lahore.

Kerajaan Pakistan minggu ini melantik semula beberapa orang hakirn yang terlibat, tetapi enggan melantik semula Ketua Hakim, Iftikhar Mohammad Chaudhry.

((AP))

 

 

INDIA

 

Lebih dua juta penduduk India terjejas ekoran banjir di timur negara itu. Hujan lebat di negeri Bihar menyebabkan air sungai Kosi melimpahi tebing. Sekurang-kurangnya satu juta penduduk masih terperangkap, manakala 90-ribu penduduk lain ditempatkan di pusat-pusat pemindahan. Demikian menurut seorang pegawai pengurusan bencana, Prataya Amrit kepada A-F-P. Banjir di India sejak 18-Ogos lalu setakat ini meragut sekurang-kurangnya 46-nyawa. Angka kematian dijangka terus meningkat.

((AFP))

 

 

SUKAN

 

Proses mengemaskini Dasar Sukan Negara (D-S-N) dijangka siap menjelang hujung bulan depan. Laporan awal berhubung kajian semula pelaksanaan dasar berkenaan telahpun diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Ini dinyatakan Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh. Beliau bercakap di Kuala Lumpur. Hujung Mac lepas, Jawatankuasa pusat di peringkat kementerian diberi masa enam bulan untuk membuat penambahbaikan kepada D-S-N agar relevan dengan keadaan semasa.

((BERNAMA))

 

 

BOLA SEPAK

 

Bola sepak, Serie A' Itali. Kapten Roma, Francesco Totti akan terlepas peluang untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Napoli, hujung minggu ini. Totti dilapor mengalami kecederaan buku lali. Demikian menurut agensi berita ANSA. Akhir musim lepas, Totti turut direhatkan ekoran kecederaan lutut yang memerlukannya menjalani pembedahan.

 

Dalam perkembangan lain, Sunderland memuktamadkan perpindahan Anton Ferdinand dari West Ham United. Perjanjian mengenainya ditandatangani semalam. Difahamkan, yuran perpindahan sekitar 8-juta pound atau 14.7-juta Dollar. Kontrak itu bagi tempoh empat tahun. Pengurus Sunderland, Roy Keane berharap, pengalaman luas dan kemahiran yang dimiliki Ferdinand dapat membantu kelab ke tahap yang lebih baik.

((DPA))

 

ARKIB BERITA