Login  |  
BERITA
Wednesday, January 07, 2009
Location: BlogsKIOS BERITA    
Posted by: timbradmin 11/18/2008 12:16 PM

EDITOR : MASNIZA AWANG KECHIK

PENYAMPAI : SALAHUDDIN HJ RAMLAN

 

EKONOMI AMERIKA SYARIKAT DIRAMAL MELESET, APRIL TAHUN DEPAN.

 

LANUN SOMALIA TERUS MENGGANAS....KAPAL TANGKI MINYAK ARAB SAUDI, DIRAMPAS.

 

PENGUNDURAN SEPENUHNYA TENTERA AMERIKA DARI IRAQ, BERGANTUNG KEPADA PERKEMBANGAN SEMASA.

 

US-EKONOMI

 

Amerika Syarikat mungkin terjerumus dalam kemelesetan ekonomi, April nanti. Keadaan itu dijangka berlarutan selama 14-bulan. Demikian hasil tinjauan yang dikendalikan Rezab Persekutuan cawangan Philadelphia, melibatkan 51-pakar ekonomi. Mereka rata-ratanya juga meramalkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (K-D-N-K) Amerika sebanyak 2.9-peratus pada suku ke-4 tahun ini dan 1.1-peratus lagi pada suku pertama 2009. Sentimen sama juga bakal mempengaruhi kadar pengangguran. la dijangka meningkat kepada 7.7-peratus menjelang suku ke-4 tahun depan.

((AFP))

 

KRISIS INDUSTRI AUTOMOTIF

 

Dalam pada itu, ahli Kongress dari parti Demokrat melancarkan satu usaha baharu bagi menyelamatkan industri automotif Amerika Syarikat. la bagaimanapun ditentang White House kerana khuatir kerajaan akan kehabisan dana. Mengikut pelan yang dibentangkan itu, Demokrat merancang untuk menyediakan sejumlah 25-billion dollar bagi menyelamatkan industri automotif. Peruntukan tersebut akan diambil dari dana 700-billion dollar yang disedia dalam pakej "bail-out" sektor kewangan sebelum ini.

((AFP))

 

KRISIS-CITIGROUP

 

Krisis kewangan global dan rentetan kerugian besar sepanjang tahun ini dijadikan alasan Citigroup untuk memberhentikan pekerjanya. Sasarannya untuk mengurangkan tenaga kerja syarikat daripada 350-ribu kepada hanya 300-ribu di seluruh dunia. Menurut firms jururunding Challenger, Gray and Christmas, ia merupakan rekod pemberhentian pekerja kedua tertinggi di Amerika Syarikat selepas pengumuman 60-ribu oleh I-B-M pada 1993. Citigroup adalah salah satu daripada 9-bank utama Amerika bermasalah yang menyertai program "bailout" kerajaan. Menerusinya Citi menerima suntikan 25-billion dollar.

((AFP))

 

IMF

 

Sebanyak 1.2-trillion dollar perlu dibelanjakan untuk merangsang ekonomi global. Demikian menurut Pengarah Urusan Tabung Matawang Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn. Beliau juga menggesa dunia melancarkan dasar belanjawan besar-besaran yang tersusun, bagi menangani krisis kewangan sekarang. Strauss-Kahn berucap merasmikan persidangan integrasi ekonomi di Tripoli, Libya. Beliau turut membayangkan sokongannya terhadap langkah Bank Pusat Eropah (E-C-B) untuk sekali lagi memotong kadar faedah. November lepas, E-C-B memotong kadar faedah utamanya sebanyak 50-mats asas kepada 3.25-peratus.

((AFP))

 

UN-CONGO

 

Kekuatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo, akan ditingkatkan. Anggotanya akan ditambah sebanyak 3-ribu 100-orang lagi. Pada masa ini, terdapat 17-ribu anggota pasukan berkenaan. Gesaan agar Majlis Keselamatan P-B-B menambah kekuatan misi berkenaan disuarakan oleh Setiausaha Agung P-B-B, Ban Ki-moon dan wakil kanannya di Congo. Lebih ramai anggota pengaman diperlukan ekoran pertempuran berterusan antara tentera kerajaan dengan kumpulan gerila yang diketuai, Laurent Nkunda. Pengundian berhubung rancangan penambahan anggota itu akan diadakan di Majlis Keselamatan hujung minggu ini.

((AP))

 

LANUN

 

Lagi rampasan kapal oleh kumpulan lanun Somalia. Insiden terbaharu membabitkan sebuah kapal tangki minyak milik Arab Saudi. Kejadian berlaku kira-kira 600 kilometer ke perairan Kenya. Sumber tentera taut Amerika Syarikat menyebut, perampas sedang membawa kapal terbabit menuju ke sebuah pelabuhan di Somalia.Sirius Star seberat 318-ribu tan dan tiga kali lebih besar daripada sebuah kapal pengangkut pesawat tentera Amerika merupakan kapal terbesar yang dirampas kumpulan lanun di kawasan berkenaan. Ketika kejadian, ia membawa 25 krew dari Croatia, Britain, Filipina, Poland dan Arab Saudi.

((AFP))

 

US-IRAQ

 

Pengunduran sepenuhnya tentera Amerika Syarikat dari Iraq, yang dijadual pada penghujung tahun 2011, bergantung kepada perkembangan di negara itu. Ini ditegaskan oleh Ketua Tentera Amerika, Laksamana Michael Mullen. Beliau menyatakannya sebagai mengulas perjanjian mengenai mengenai perkara itu yang dicapai antara Baghdad dengan Washington, beberapa hari lalu. Perjanjian berkenaan dikenali sebagai Status perjanjian Pasukan Tentera atau SOFA. Kenyataan Mullens itu bertentangan dengan rancangan bakal Presiden Barack Obama yang mahu mengundurkan sepenuhnya tentera Amerika Syarikat dari Iraq, pertengahan tahun 2010. Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Britain, David Miliband menegaskan, Syria mampu memainkan peranan penting dalam usaha menstabilkan situasi politik di Asia Barat. Demikian dilaporkan agensi berita Syria SANA. Pendirian itu disuarakan sempena lawatannya ke negara itu bagi bertemu Presiden Bashar al-Assad dan para pemimpin lain yang dijadual hari ini. la merupakan pertemuan pemimpin peringkat tertinggi pertama, antara London-Damsyik sejak Syria dikaitkan dengan insiden pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri 3 tahun lalu.

((AFP))

 

GUANTANAMO

 

Perkembangan perbicaraan kes melibatkan dalang peristiwa serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed dan 4-suspek lain di Teluk Guantanamo. Seorang hakim tentera baharu telah dinamakan untuk mengendalikan perbicaraan. Menurut sumber dalaman Pentagon, Kolonel Stephen Henley dipilih untuk menggantikan Kolonel Ralph Kohlmann, yang akan bersara April nanti. Kohlman merupakan ketua hakim tribunal tentera di Guantanamo. Beliau melepaskan jawatan setelah menyedari perbicaraan kes itu akan berlarutan selepas tarikh persaraannya.

((AFP))

 

GUINEA BISSAU-PARLIMEN

 

Pilihan raya Parlimen, Guinea Bissau, Ahad lalu, merupakan kemenangan kepada demokrasi di negara miskin, barat rantau Afrika itu. IN ditegaskan oleh wakil khas Pertubuhan Bangsa Bersatu, Shola Omoregie. Beliau menyatakannya di Bissau dalam pertemuan dengan para pengawas antarabangsa yang memantau perjalanan pilihanraya itu. Keputusan pilihan raya itu dijangka diumumkan beberapa hari lagi.

((AFP))

 

BANGLADESH-BNP

 

Pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (B-N-P), salah satu parti utama di Bangladesh memberi amaran, pilihanraya umum negara itu bulan depan mungkin dipulaukan. Tindakan akan diambil sekiranya tuntutan parti berkenaan tidak dipenuhi dalam tempoh 48-jam. Senarai tuntutan dikemukakan oleh pemimpin parti yang juga mantan Perdana Menteri, Khaleda Zia. Tuntutan itu termasuk menangguhkan pilihanraya umum yang dijadualkan pada 18-Disember dan pilihanraya tempatan pada 28-Disember ke tarikh lain. Beliau turut mendesak agar pengundi Islam yang sedang menunaikan Haji dibenarkan mengundi dari Mekah.

((DPA))

 

MILF

 

8-anggota kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro, M-I-L-F antara yang terkorban dalam pertempuran terbaru dengan pihak tentera di wilayah Selatan Filipina. 3 anggota tentera turut terkorban. Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Julieto Ando memberitahu, pertempuran berlaku berhampiran bandar Mamasapano di Mindanao petang semalam. Pertempuran tercetus selepas anggota M-l-L-F dilapor melakukan serangan hendap di pangkalan tentera di kawasan itu.

((AFP))

 

PERU-APEC

 

Di Lima, Peru, Polis menahan seorang lelaki yang membawa 36-butir bom tangan, beberapa hari sebelum ketibaan para pemimpin utama dunia untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC. Dia sedang disoal siasat oleh unit anti-keganasan polis. Pihak berkuasa, bagaimanapun tidak menyatakan sama ada lelaki itu merancang melancarkan serangan semasa sidang berkenaan.

((AFP))

 

SCHUSTER

 

SUKAN - Bernd Schuster akan meneruskan tugasnya selaku jurulatih Real Madrid. Ini diumumkan Pengarah Sukan Real, Pedja Mijatovic dalam sidang media di Estadio Bernabeu. Kenyataan itu sekaligus menamatkan segala spekulasi yang menjangkakan Schuster bakal dipecat. Menurut Mijatovic, Real masih menaruh kepercayaan terhadap Schuster, meskipun prestasi pasukan sejak kebelakangan ini agak mengecewakan. Bagi memperkukuhkan pasukan, Real akan cuba memikat beberapa pemain baharu pada musim perpindahan Januari nanti. Antara pemain yang sedang diintai termasuk penyerang Inter Milan, Hernan Crespo, Diego Milito dari Genoa dan Ricardo Oliveira yang kini beraksi bersama kelab divisyen 2, Real Zaragoza.

((DPA))

ARKIB BERITA