EDITOR : MASNIZA AWANG KECHIK
PENYAMPAI : SITI AISHA MELISA YUHANIZ
ISU PASARAN TERBUKA TERUS MENDAPAT TUMPUAN PEMIMPIN APEC, SELAIN KEGAWATAN EKONOMI GLOBAL.
PENTADBIRAN BUSH TOLAK PAKEJ MENYELAMAT INDUSTRI AUTOMOTIF.
DUA LAGI KAPAL DITAWAN LANUN SOMALIA.
APEC
Para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan terus membangkitkan mengenai soal pasaran terbuka dalam Sidang Kemuncak di Lima, Peru hujung minggu ini, di sebalik krisis ekonomi global sekarang. Demikian menurut Pengerusi jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka deraf kenyataan forum berkenaan, Elizabeth Chelliah. Menurutnya, semua pihak bercakap mengenai perlunya untuk terns membuka pasaran dan mengelak daripada mengambil tindakan sebaliknya. Beliau bercakap kepada pemberita di Lima. Para pegawai kanan dari 21-negara anggota mengadakan mesyuarat tertutup semalam bagi menyediakan kenyataan yang akan ditandatangani para pemimpin APEC, hujung minggu ini. Delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, polis Peru membongkar rancangan pelampau "Shining Path" untuk melancarkan siri serangan ketika berlangsungnya Forum APEC di ibu negara, Lima. Plot itu terkandung dalam satu dokumen yang dirampas pihak berkuasa di sebuah kem milik "Shining Path". Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada masih wujud ancaman seumpama itu selepas rancangan tersebut berjaya dibongkar. Forum APEC dijadual bermula esok dan berakhir pada Ahad. Forum kali ini menjadi tumpuan kerana bakal dihadiri Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan rakan sejawatannya dari Russia, Dmitry Medvedev.
((AFP))
AMERIKA SYARIKAT
Rancangan ahli Kongress dari parti Demokrat untuk melancarkan pakej baharu khusus bagi menyelamat industri automotif Amerika Syarikat, mendapat tentangan. Para senator dari parti Republikan yang ditemui, rasa keberatan untuk meluluskan pakej itu. Menurut Ahli Jawatankuasa Senat mengenai Perbankan, Richard Shelby, masalah yang membelenggu sektor automotif tidak boleh diselesaikan dengan bantuan suntikan modal dari kerajaan. Ini kerana General Motors, Ford dan Chrysler merupakan model penggiat industri automotif yang gagal dan telah mengalami kerugian berbilion dollar dalam tempoh 5-tahun.
Di White House, jurucakapnya Dana Perino menyatakan, pentadbiran Presiden George W. Bush tidak bersetuju dengan rancangan berkenaan. Pakej "bail-out" itu tidak wajar diluluskan, melainkan syarikat-syarikat terlibat boleh menunjukkan prospek daya-maju dalam jangka panjang. Pendirian serupa turut ditegaskan Setiausaha Perbendaharaan, Henry Paulson. Katanya, program menyelamat pasaran kewangan Amerika bukan satu penyelesaian untuk segala kepincangan dalam ekonomi.
((AFP))
BAN KI MOON
Qatar akan menganjurkan Sidang Kemuncak berhubung Krisis Kewangan Global, hujung bulan ini. Ia diadakan atas permintaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon. Perkara itu disahkan oleh seorang anggota jawatankuasa penganjur persidangan. Kira-kira 40-ketua negara dan kerajaan dijangka menghadiri persidangan itu.
((AFP))
MINYAK DUNIA-SAHAM
Harga minyak dunia didagangkan bawah 55 Dolar se tong. Di pasaran hadapan London, minyak mentah Brent North Sea bagi penghantaran Januari jatuh 0.47-Dolar untuk ditutup pada 51.84-Dolar se tong. Di New York, minyak mentah Light Sweet bagi penghantaran Disember susut 0.6-Dolar kepada 54.39-Dolar se tong. Dalam dagangan, ia turun sehingga 53.96 Dolar, paras terendah sejak Januari 2007.
Sementara itu, pasaran saham Jepun jatuh 1.78-peratus menjelang penutupan dagangan sebelah pagi. Indeks Nikkei susut 148.28-mata kepada 8-ribu 180.13. Di Hong Kong, bursa sahamnya dibuka 0.7-peratus lebih rendah. Indeks Hang Seng turun 88.52-mats kepada 12-ribu 827.37.
((AFP))
LANUN-TELUK ADEN
2-lagi kapal ditawan kumpulan lanun Somalia yang bermaharajalela di Teluk Aden. Mangsa terbaharu merupakan sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Hong Kong. Kapal itu dirampas dekat pesisir pantai Yaman. Menurut Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim China, kapal "The Delight" belayar bersama 25-krew. Semasa diserang, ia membawa muatan 36-ribu tan gandum menuju Bandar Abbas di Iran.
Terdahulu, Beijing menyelar tindakan lanun merampas sebuah bot nelayan China. Bot berkenaan ditawan di luar pesisir pantai Somalia. Ketika kjadian, bot berkenaan sedang membawa 24-krew, terdiri daripada 15-rakyat China, 4-Vietnam, 3-warga Filipina dan masing-masing seorang dari Jepun dan Taiwan. China sedang berusaha mendapatkan pembebasan krew terlibat.
((AFP))
PALESTIN
Gencatan senjata Hamas-Israel terus dicabuli. Beberapa unit kereta kebal askar Zionis menceroboh masuk ke selatan wilayah Genting Gaza. Tindakan itu cuba ditentang oleh pejuang Palestin dengan melancarkan bedilan mortar dan roket. Menurut sumber dalaman pasukan keselamatan Palestin, unit kereta kebal askar Yahudi itu menceroboh bersama sebuah jentolak dan jip tentera. la kemudian mara sejauh kira-kira setengah kilometer ke dalam wilayah Palestin, berhampiran bandar Rafah.
((AP))
ZIMBABWE
Draf pindaan perlembagaan bagi mewujudkan jawatan Perdana Menteri, sudah siap dirangka oleh parti-parti bertelagah Zimbabwe. Menteri Penerangan Sikanyiso Ndlovu berkata, draf pindaan itu akan dikemukaan untuk diteliti bekas Presiden Afrika Selatan Thabo Mbeki, selaku perantara dalam rundingan antara Robert Mugabe dengan Morgan Tsvangirai. Seterusnya, draf itu akan diwartakan dan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen. Ndlovu menyatakannya di Harare. ((AFP))
BARRACK OBAMA
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dilapor memilih Eric Holder sebagai peguam negara, dalam barisan kepimpinannya. Jika disahkan, Holder merupakan peguam kulit hitam pertama yang mengetuai Jabatan Kehakiman. Menurut majalah Newsweek, Holder sudahpun menerima tawaran Obama. Holder, 57 tahun pernah bertugas sebagai Timbalan Peguam Negara dibawah pentadbiran bekas Presiden, Bill Clinton. Obama dijangka mengesahkan pelantikan Holder selepas memilih dan mengumumkan nama Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha negara yang baharu.
((AFP))
COLOMBIA
Hujan lebat di Colombia yang berlarutan sejak September lalu, sehingga kini meragut 22-nyawa. 7-penduduk yang masih hilang dikhuatiri turut terkorban. Sekurang-kurangnya 500-ribu orang mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda. 400-buah rumah musnah, manakala hampir 39-ribu buah rumah yang lain mengalami kerosakan teruk. Demikian menurut Pengarah Jabatan Menyelamat Pertubuhan Palang Merah Kebangsaan, Carlos Marquez. Beliau bercakap di Bogota. Menurutnya, fenomena hujan lebat itu dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan depan.
((DPA))
HAITI-AMERIKA SYARIKAT
Dua warga Amerika maut dalam nahas udara di utara Haiti. Kedua-duanya yang berusia 51 dan 62-tahun terkorban selepas helikopter yang mereka naiki terjunam ke dalam lagun. Identiti mangsa dikenali berdasarkan beberapa dokumen yang ditemui di tempat kejadian. Demikian menurut pegawai penyiasat tragedi itu, Joseph Felix di Port-Au-Prince.
((AFP))
SUKAN-BOLA SEPAK
England kehilangan seorang lagi tonggak bagi perlawanan persahabatan menentang Jerman. Selepas Frank Lampard, Steven Gerard, Rio Ferdinand, Wayne Rooney, Joe Cole dan Asyley Cole, kali ini penyerang muda Arsenal, Theo Walcott disahkan tidak dapat beraksi, awal pagi esok. Bahu pemain berusia 19-tahun itu dilaporkan terkehel ketika menjalani sesi latihan. Perkembangan terbaharu itu jelas mengecewakan pengurus England, Fabio Capello yang sedang mengatur barisan terbaik bagi pertembungan di Stadium Olimpik Berlin.
Sementara itu, pihak berkuasa Jerman memperketat kawalan keselamatan ketika para penyokong England mula tiba di Berlin. Lebih 1-ribu anggota polis ditempatkan di kawasan-kawasan tumpuan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Jurucakap polis, Carsten Mueller berkata setakat ini keadaan adalah terkawal. Dijangkakan, kira-kira 8-ribu penyokong England akan berada di Berlin bagi menyaksikan pertembungan dramatik itu.
Dalam perkembangan lain, penyerang Chelsea, Didier Drogba digantung tiga perlawanan atas kesalahan melempar sekeping syiling ke arah penonton ketika pasukannya tewas dalam pusingan ke-4 Piala Liga Inggeris kepada Burnley minggu lepas. Ini bermakna, Drogba terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, Sabtu ini, Arsenal pada 30 November dan Bolton, 6 Disember.
Dalam pada itu, pengurus Manchester United, Alex Ferguson turut dihukum kerana mengkritik Mike Dean, yang mengadili perlawanan M-U menentang Hull City, 1 November lalu. Atas kesalahan itu, Ferguson diarah menyaksikan dua perlawanan M-U di tempat duduk penonton. Hukuman berkuatkuasa 2 Disember. Ferguson juga dikenakan denda 10-ribu pound.
((AFP))