EDITOR : MASNIZA AWANG KECHIK
PENYAMPAI : SITI AISHA MELISA YUHANIZ
KERAJAAN PERTIMBANG SAMBUNG SEMULA KONTRAK 2-RIBU GRADUAN YANG DILANTIK SEBAGAI "PEGAWAI PEMANTAU HARGA".
PIHAK BERKUASA CHINA KENAKAN CUKAI TERHADAP BAHAN BAKAR.
PBB MAHU ISRAEL LONGGARKAN SEKATAN BAGI MUDAHKAN PENGHANTARAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA.
DEWAN RAKYAT
Kerajaan akan mempertimbang sama ada menyambung semula atau sebaliknya kontrak 2-ribu graduan yang dilantik sebagai "Pegawai Pemantau Harga" sejak 31-Mac lalu. Kontrak semasa mereka berakhir pada 31-Mac depan. Ini dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad. Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
((PBR))
FOMCA-TOL
Langkah Plus Expressway Bhd, pengendali Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Elite menawarkan diskaun tol sebanyak 10-peratus, dapat membantu meringankan beban pengguna. Ini dinyatakan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu. Beliau bercakap kepada Berita Radio, RTM ketika diminta mengulas langkah tersebut. Beliau turut mencadangkan agar kadar diskaun lebih tinggi ditawarkan pada musim perayaan, bagi memberi impak lebih maksimum kepada rakyat:
“Tapi yang lebih penting, apa yang kita harapkan ialah pengguna-pengguna harus melihatnya secara positif dan apa yang kita harapkan ialah, dalam masa-masa yang akan datang mungkin mereka boleh melanjutkan pemberian ini pada masa-masa yang tertentu atau mungkin pada hujung minggu, tidak kira masa. Ataupun dalam musim perayaan, mungkin juga mereka boleh menurunkan hingga 30 peratus atau 40 peratus lagi.”
((PBR))
REAKSI-TOL
Orang ramai turut mengalu-alukan langkah Plus itu. Berita Radio sempat menemubual Encik Halimi Mokhtar, Puan Suraya Rahman serta Encik Aswad Samad:
“ENCIK HALIMI MOKHTAR: Tindakan syarikat konsesi tol memberi diskaun tol sebanyak 10 peratus keatas pengguna lebuhraya utara selatan sedikit sebanyak telah mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh masyarakat Malaysia disaat ini.”
“PUAN SURAYA RAHMAN: Saya amat bersyukur dengan pengurangan yang diberikan, ia adalah lebih baik jika pengurangan itu dapat diberikan pada waktu kemuncak kerana pada waktu itu lebih ramai yang menggunakan lebuh raya.”
“ENCIK ASWAD SAMAD:Walaupun diskaun tol yang diberi adalah pada tengah malam hingga awal pagi, ini sudah cukup menunjukkan satu perkembangan baik kepada pengguna tol diseluruh negara. Saya harap komitmen ini dapat diteruskan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang lain."
((PBR))
TOL-PLUS
Semalam, Pengarah Urusan Plus, Puan Noorizah Abd Hamid mengumumkan kenderaan persendirian Kelas SATU yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Elite dari pukul 12-tengah malam hingga 7-pagi, akan menerima diskaun tol sebanyak 10-peratus. Ia berkuatkuasa mulai 1-Januari depan untuk tempoh dua tahun. Plus Expressway Bhd, pengendali kedua-dua lebuh raya itu akan turut memberi diskaun 20-peratus kepada pengguna kenderaan Kelas SATU yang menggunakan lebuh raya dari pukul 12 tengah malam hingga 7-pagi pada hari perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, juga untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa tahun depan.
((BERNAMA))
PM-TURKI
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Arzaban hari ini, untuk memulakan lawatan rasmi ke Turkmenistan. Beliau disertai isteri, Datin Seri Jeane Abdullah. Lawatan itu bagi
mengukuhkan hubungan dua hala. Antara atucara lawatan Perdana Menteri ialah menyaksikan pameran idustri gas dan minyak Turkmenistan yang turut disertai syarikat Malayia. Petang ini, Datuk Seri Abdulah dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Turbanguli Burdimuhamidof.
((BTV))
SPM-SONGSANG
Gejala "pengkid" merupakan tanggungjawab bersama semua anggota masyarakat. Perunding Motivasi, Profesor Madya Hj Mohd Izzudin Mohd Ali berkata, ia bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Beliau berkata demikian dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM-SATU:
"Cara yang diplomasi, cara yang berhikmah kita boleh nyatakan kepada mereka sebab kadangkala orang yang sebegini kita tidak boleh terus cakap. Kita kena kaji dia, kaunseling dia. Maknanya berperingkat-peringkat. Bukannya hari ini mana-mana berlakunya perkara tidak elok esok boleh terus jadi elok. We are the best ummah. Menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kita beriman kepada Allah."
((PBR))
ASLI-TANAH
Pemberian tanah milik kekal bagi tujuan pertanian kepada kira-kira 20-ribu ketua keluarga orang Asli, hadiah terbaik kerajaan sejak negara merdeka. Pengerusi Yayasan Orang Ash Perak (Y-O-A-P), Encik Suki Mei berkata, ia membolehkan masyarakat orang Asli mengusahakan tanah tanpa rasa takut dan lebih bersistematik. Usaha itu, bagaimanapun memerlukan kerjasama erat kerajaan negeri, memandangkan tanah adalah di bawah bidangkuasa mereka. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita Radio RTM.
"Jadi usaha pertama iaitu yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ke arah membangunkan kawasan-kawasan ladang orang asli memang sesuatu yang tepat dan perlu disegerakan dan perlu dilaksanakan segera. dan yang paling penting orang asli sendiri perlu dilibatkan dalam pembangunan tanah-tanah tersebut, tidak hanya jadi penonton dan tidak hanya pembangunan tersebut diarahkan kepada agensi-agensi kerajaan. Agensi-agensi kerajaan hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan dalam pembangunan tanah-tanah saka/pertanian mereka. Itu penting, penglibatan kelompok sasar."
((PBR))
ASLI-SEDIA
Encik Suki Mei juga berkata Y-O-A-P sedia menjadi agensi pelaksana, sekiranya diberi mandat oleh kerajaan. Menurut beliau pihaknya mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk membantu masyarakat orang asli membangunkan tanah mereka.
"Pertama kita boleh membantu pihak kerajaan dalam memberi penerangan kepada kelompok-kelompok sasaran menegenai kepentingan tanah, pemberian hak milik, dan sebagainya. kedua juga, kita boleh jadi agensi pelaksana. sebab kita mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai membangunkan ladang-ladang ini. sebab kita juga telahpun membangunkan kawasan ladang orang asli dengan kerjasama orang asli tempatan."
((PBR))
MINYAK
Harga minyak di pasaran Asia mencatat sedikit kenaikan, namun masih di bawah 55-Dolar se tong. Kontrak utama Light Sweet bagi penghantaran bulan Disember menokok 0.03-Dolar kepada 54.42-Dolar se tong. Harga minyak mentah Brent North Sea bagi penghantaran bulan Januari, juga meningkat 0.03-Dolar kepada 51.87-Dolar se tong.
Terdahulu, harga minyak di pasaran hadapan dunia didagangkan pada paras terendah buat bulan ke-22 berturut-turut. Di New York, harga minyak mentah Light Sweet ditutup pada 54.39-Dolar se tong - paras terendah sejak Januari 2007. Manakala di London, harga minyak mentah Brent North Sea ditutup pada 51.84-Dolar se tong.
Sementara itu, firma sekuriti, C-F-C Seymour yang beribupejabat di Hong Kong dalam laporannya menyebut, harga komoditi itu akan terus menjunam kepada 43 atau 44 Dolar se tong ekoran permintaan lembab terhadap tenaga. Firma itu percaya, harga minyak akan terus merudum sehingga terdapat bukti kukuh bahawa Amerika Syarikat berjaya keluar daripada kemelut ekonomi yang dihadapi sekarang.
((AFP))
CHINA
Pihak berkuasa China akan mengenakan cukai ke atas harga petrol dan diesel di pasaran tempatan. Pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam waktu terdekat. Demikian menurut akhbar China Daily yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga, Han Wenke. Menerusi kajian yang dijalankan institut itu sejak lebih sedekad lalu, mereka percaya harga runcit bahan bakar akan meningkat sebanyak 25-peratus atau lebih. Ia bakal menggantikan bayaran tol yang diguna untuk membiayai projek pembinaan lebuhraya. Bagaimanapun, sebelum cukai ke atas minyak dikuatkuasakan, kerajaan terlebih dahulu akan mengumumkan penurunan harga komoditi itu di pasaran tempatan.
((RUETERS))
KOREA-BINCANG
Pegawai Korea Selatan dan Korea Utara dijadual bertemu hari ini bagi membincangkan langkah menghentikan penyebaran risalah anti-Pyongyang di sempadan bersama. Mesyuarat diadakan selepas Korea Utara mengancam akan bertindak balas. Naib Menteri Penyatuan Korea, Hong Yang-Ho akan mempengerusikan mesyuarat tertutup itu. Agensi berita Yonhap melaporkan, para pegawai pejabat presiden kedua-dua negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan dan Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan akan menyertai rundingan tersebut. Hubungan dua negara Korea semakin tegang susulan kegiatan penyebaran risalah anti-Pyongyang oleh aktivis Korea Selatan. Berikutan itu, Pyongyang mengancam akan menutup sempadannya dengan Korea Selatan berkuatkuasa 1-Disember depan.
((AFP))
PALESTIN- ASIA BARAT
Israel menutup kembali laluan ke Genting Gaza sehari selepas memberi kebenaran kepada 33 trak yang sarat dengan bekalan, memasuki Gaza buat pertama kali dalam tempoh dua minggu. Arahan penutupan itu dikeluarkan Menteri Pertahanan zionis, Ehud Barak. Alasannya - pejuang HAMAS masih melancarkan serangan roket ke dalam wilayah Israel. Kumpulan bantuan antarabangsa memberi amaran, bekalan yang dihantar Isnin lalu tidak mencukupi untuk menampung keperluan kira-kira 750-ribu pelarian di Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert digesa melonggarkan sekatan di Semenanung Gaza bagi memudahkan bekalan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk wilayah berkenaan. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon menyatakan demikian semasa menghubungi Olmert melalui telefon. Ban turut menyatakan kebimbangannya terhadap kesan yang mungkin timbul jika bantuan segera tidak dihantar ke Semenanjung Gaza.
((REUTERS/AFP))
IRAQ-PELARIAN
Rakyat Iraq yang hidup sebagai pelarian di negara jiran, belum bersedia pulang ke tanahair mereka walaupun laporan menyebut kadar keganasan semakin berkurang. Mereka bimbang kemungkinan keganasan antara puak akan meletus seperti yang terjadi susulan serangan Amerika pada Mac 2003. Rakyat Iraq yang kini berlindung di Jordan dan Syria berkata, mereka bimbang akan terperangkap dalam peperangan antara puak apabila pulang ke Iraq. Perangkaan Pertubuhan Bangsa Bersatu, mendapati ada 1.5-juta pelarian Iraq di Syria manakala setengah juta lagi berlindung di Jordan.
((AFP))
ALASKA
Parti Demokrat mengisytiharkan kemenangan dalam pilihanraya senat bagi Negeri Alaska yang diadakan semula. Dengan baki 2-ribu kertas undi belum dikira, calonnya, Datuk Bandar Anchorage, Mark Begich mengatasi wakil Republikan yang juga penyandang jawatan, Ted Stevens, dengan 3-ribu-724 undi. Jika disahkan, Demokrat menambah satu lagi kerusi dalam Dewan Senat kepada 58, sekaligus menamatkan karier Steven, 85-tahun - senator Republikan paling veteran. Selepas Alaska, tumpuan kini kepada Minnesota dan Georgia, dua negeri yang turut mengadakan pilihanraya semula.
((AFP))
SUKAN-BOLA SEPAK
England kehilangan seorang lagi tonggak bagi perlawanan persahabatan menentang Jerman. Selepas Frank Lampard, Steven Gerard, Rio Ferdinand, Wayne Rooney, Joe Cole dan Asyley Cole, kali ini penyerang muda Arsenal, Theo Walcott disahkan tidak dapat beraksi, awal pagi esok. Bahu pemain berusia 19-tahun itu dilaporkan terkehel ketika menjalani sesi latihan. Perkembangan terbaharu itu jelas mengecewakan pengurus England, Fabio Capello yang sedang mengatur barisan terbaik bagi pertembungan di Stadium Olimpik Berlin.
Sementara itu, pihak berkuasa Jerman memperketat kawalan keselamatan ketika para penyokong England mula tiba di Berlin. Lebih 1-ribu anggota polis ditempatkan di kawasan-kasawan tumpuan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Jurucakap polis, Carsten Mueller berkata setakat ini keadaan adalah terkawal. Dijangkakan, kira-kira 8-ribu penyokong England akan berada di Berlin bagi menyaksikan pertembungan dramatik itu.
Dalam perkembangan lain, penyerang Chelsea, Didier Drogba digantung tiga perlawanan atas kesalahan melempar sekeping syiling ke arah penonton ketika pasukannya tewas dalam pusingan ke-4 Piala Liga Inggeris kepada Burnley minggu lepas. Ini bermakna, Drogba terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, Sabtu ini, Arsenal pada 30 November dan Bolton, 6 Disember.
Dalam pada itu, pengurus Manchester United, Alex Ferguson turut dihukum kerana mengkritik Mike Dean, yang mengadili perlawanan M-U menentang Hull City, 1 November lalu. Atas kesalahan itu, Ferguson diarah menyaksikan dua perlawanan M-U di tempat duduk penonton. Hukuman berkuatkuasa 2 Disember. Ferguson juga dikenakan denda 10-ribu pound.
((AFP))