Login  |  
BERITA
Wednesday, January 07, 2009
Location: BlogsKIOS BERITA    
Posted by: timbradmin 11/20/2008 11:47 PM

 

EDITOR: EMMI NORALIZA ADNAN.

PENYAMPAI : HABIBULLAH ABU BAKAR.

 

HARGA MINYAK DUNIA TERUS JATUH, MENGHAMPIRI PARAS 50-DOLAR SE TONG.

 

PASARAN SAHAM AMERIKA SYARIKAT JATUH KE PARAS PALING RENDAH DALAM TEMPOH 5-SETENGAH TAHUN.

 

NEGARA PENDERMA DIGESA MEMBERI SUMBANGAN TAMBAHAN KEPADA AGENSI BANTUAN DAN KERJA PELARIAN PALESTIN.

 

 

MINYAK DUNIA

 

Harga minyak dunia jatuh buat hari ke-4. Malah, minyak mentah Brent North Sea menjunam menghampiri paras 50-Dolar ketika faktor kelembapan permintaan dan kegawatan kewangan terus menekan pasaran. Di London, harga Brent North Sea bagi penghantaran Januari jatuh 0.12-Dolar untuk ditutup pada 51.72-Dolar se tong. Dalam dagangan awal, is susut sehingga 50.61-Dolar, paras terendah sejak tiga setengah tahun lepas. Di New York, minyak mentah Light Sweet bagi penghantaran Disember turun 0.77-Dolar kepada 53.62-Dolar se tong.

((AFP))

 

 

AS-PROSPEK

 

Ekonomi Amerika Syarikat berdepan dengan risiko kemelesetan sepanjang tahun depan. Menurut unjuran terkini Rezab Persekutuan, ekonomi Amerika tahun depan mungkin tumbuh pada kadar 1.1-peratus atau menguncup sebanyak 0.2-peratus. Ini berbeza dengan unjuran Julai lepas yang menjangkakan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (K-D-N-K) antara 2 hingga 2.8-peratus. Bagi tahun 2008, Rezab Persekutuan menganggarkan pertumbuhan sifar hingga 0.3-peratus dalam K-D-N-K, turun berbanding unjuran terdahulu yang meramalkan pertumbuhan antara 1 hingga 1.6-peratus. Bank pusat Amerika itu juga menjangka, satu pemulihan perlahan yang boleh menghasilkan pertumbuhan pada kadar 2.3 hingga 3.2-peratus pada 2010.

((AFP))

 

SAHAM-AS

 

Dalam pada itu, pasaran saham Amerika Syarikatjatuh merudum ke paras paling rendah dalam tempoh 5-setengah tahun susulan prospek yang semakin suram dalam ekonomi gergasi dunia itu. Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 427.47-mata atau 5.07-peratus kepada 7-ribu 997.28. Ini merupakan kali pertama indeks itu ditutup bawah paras 8-ribu mata sejak 31 Mac 2003. Nasdaq jatuh 96.85-mata atau 6.53-peratus kepada seribu 386.42 manakala Indeks Standard and Poor five hundred merosot 52.54-mata atau 6.12-peratus untuk ditutup pada 806.58, satu lagi kemerosotan paling teruk dalam tempoh 5-setengah tahun.

((AFP))

 

SAHAM-EROPAH

 

Sentimen serupa turut mengakibatkan pasaran-pasaran saham Eropah mengalami kemerosotan lebih 4-peratus. Di London, Indeks FTSE (FOOTSIE) one hundred jatuh 4.82-peratus kepada 4-ribu 5.68-mata. Indeks C-A-C FOURTY di Paris rugi 4.03-peratus kepada 3-ribu 87.89-mata. Begitu juga di Frankfurt. Indeks DAX menjunam 4.92-peratus untuk ditutup pada 4-ribu 354.09-mata.

((AFP))

 

SAHAM-ASIA

 

Pasaran saham di Asia turut menunjukkan kemerosotan. Di Tokyo -- pasaran saham didagangkan rendah 4.32-peratus dalam sesi pagi ini. Indeks Nikkei-225 susut 357.59 mata kepada 7-ribu 915.63. Di Hong Kong -- harga-harga saham dibuka 5.1 peratus lebih rendah. Indeks Hang Seng jatuh 648.89 mata kepada 12-ribu 166.91

((AFP))

 

APEC

 

Mesyuarat peringkat Menteri Kerjasama ekonomi Asia Pasific, APEC di Lima Peru, mengambil ketetapan agar rundingan perdagangan bebas Pusingan Doha, segera diteruskan. Ketetapan itu dibuat ekoran kebimbangan terhadap kesan langsung pasca krisis kewangan global terhadap ekonomi rantau Asia Pasifik.

((PBR))

 

THAILAND-BOM

 

Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan anti-kerajaan Thai maut dan 21 yang lain cedera dalam satu serangan bom, di Bangkok. Kejadian berlaku awal pagi tadi dalam kawasan tapak khemah kumpulan pembantah. Menurut sumber perkhidmatan kecemasan Thailand, bom itu meletup pada pukul 3:28-pagi waktu tempatan, di hadapan pentas yang didirikan dalam halaman kompleks Rumah Kerajaan. Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke 4-hospital berasingan. 10-daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan serius.

((AFP))

 

PALESTIN

 

Negara penderma digesa memberi sumbangan tambahan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pelarian Palestin (UNRWA). Sumbangan itu diperlukan bagi menangani krisis kewangan yang amat kritikal di wilayah Palestin. Ketua Pesuruhjayanya, Karen Abu Zayd membuat rayuan itu pada hari terakhir mesyuarat dua hari UNRWA di Amman, Jordan. Menurutnya, agensi berkenaan akan mengalami defisit sebanyak 160-juta Dollar dalam suku pertama tahun 2009.

 

Di mesyuarat itu juga, empat negara yang memberi perlindungan kepada pelarian Palestin, iaitu Syria, Jordan, Lubanan dan Pihak Berkuasa Palestin menggesa campurtangan masyarakat antarabangsa bagi menamatkan kepungan Israel terhadap Semenanjung Gaza. Dalam satu kenyataan bersama, keempat-empat negara menolak tindakan regim Tel Aviv yang disifatkan sebagai menghalang kerja UNRWA dan kebebasan pergerakan kakitangannya.

((DPA))

 

PBB-SOMALIA

 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon mengalu-alukan usaha antarabangsa untuk membanteras kegiatan lanun di luar pantai Somalia. Antaranya, rancangan Kesatuan Eropah (E-U) menempatkan pasukan maritim di kawasan pantai negara Afrika itu. Demikian menurut kenyataan ketua jurucakapnya di New York. Biro Maritim Antarabangsa menyifatkan kegiatan lanun di perairan itu sebagai tidak terkawal. Menurut perangkaan biro berkenaan, 94 buah kapal yang belayar melalui Lautan Hindi dan Telok Aden diserang lanun yang berpangkalan di Somalia, tahun ini.

((AFP))

 

CONGO

 

Anggota kumpulan gerila di Republik Demokratik Congo berundur dari dua kawasan utama yang dikuasai sebelum ini. Kumpulan yang diketuai Laurent Nkunda, bagaimanapun memberi amaran akan kembali sekiranya tentera kerajaan Congo memasuki kawasan berkenaan. Pengumuman mengenai pengunduran itu dibuat kepada wakil keamanan Pertubuhan Bangsa Bersatu. la disahkan oleh Leftenan Kolonel Jean-Paul Dietrich daripada pasukan pengaman PBB. Kedua-dua kawasan terbabit terletak 80-kilometer ke timur laut, Goma.

((AFP))

 

HAITI

 

Di Haiti, seorang pelajar perempuan maut, 26-lagi cedera ketika berebut-rebut menyelamatkan diri kerana menyangka bangunan sekolah mereka, runtuh. Pengarah perlindungan awam, Alta Jean-Baptiste memberitahu agensi berita A-F-P, kejadian berlaku, apabila sebuah treler yang melalui jalan di hadapan sekolah terbabit mengeluarkan bunyi kuat hingga mencetuskan panik dalam kalangan pelajar. Seorang saksi memberitahu stesen radio di Port-au-Prince, bunyi yang dikeluarkan kenderaan berat itu menyebabkan berpuluh-puluh pelajar terjun dari tingkat satu bangunan sekolah terbabit.

((AFP))

 

AS-IRAN

 

White House sekali lagi menuduh Iran gagal bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (I-A-E-A). Tehran juga didakwa menolak tawaran mengadakan rundingan peringkat tinggi bagi membincangkan isu nuklearnya. Dakwaan dibuat oleh jurucakap White House, Gordon Johndroe di Washington. I-A-E-A dalam laporannya menyebut, terdapat sedikit sahaja kemajuan dalam siasatan mengenai program nuklear Iran.

((AFP))

 

AS-IRAQ

 

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates mempertahankan perjanjian Pertahanan yang telah dimeterai dengan Iraq, Isnin lalu. Menurut beliau, perjanjian tersebut memberi tempoh yang diperlukan tentera Amerika bagi melatih tentera Iraq selain menentang pengganas. Beliau menjelaskan demikian kepada Kongres di Washington. Sebahagian daripada ahli Kongres masih was-was dengan perjanjian tersebut yang antara lain mengkehendaki tentera Amerika berundur dari bumi Iraq menjelang akhir 2011 serta mengehadkan peluang Baghdad mengenakan tindakan undang-undang kepada tentera dan kontraktor Amerika Syarikat yang melakukan jenayah.

((AP))

 

 

ARKIB BERITA