Login  |  
BERITA
Wednesday, January 07, 2009
Location: BlogsKIOS BERITA    
Posted by: timbradmin 11/21/2008 5:21 PM

EDITOR:EZA YUSMAWATI YAACOP

PENYAMPAI: AZNARINA AZIZ

 

 

TAN SRI RAFIDAH UMUM AKAN PERTAHAN JAWATAN KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO.

 

NEGARA ANGGOTA PERLU LAKSANA INISIATIF JENDELA TUNGGAL APEC, MUDAHKAN PERDAGANGAN RANTAU.

 

INDUSTRI BERINTENSIF BURUH DI INDONESIA BERHENTIKAN LEBIH 12-RIBU PEKERJA.

 

 

TAN SRI RAFIDAH AZIZ – TANDING

 

Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan. Tan Sri Rafidah, 65 tahun, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno. Oleh itu beliau menyerahkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu. Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan setebal 11 muka surat yang ditulis tangan.

Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan. Keputusan itu sekaligus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Tan Sri Rafidah pada Ogos lepas.

 

Dalam kenyataan tersebut, Tan Sri Rafidah juga melahirkan rasa kecewa kerana pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang dijadual pada Jun tahun depan dipertikai dan ditolak  tiga bulan selepas beliau mengumumkannnya. Malah katanya, Datuk Seri Sharizat sendiri sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan beliau tidak akan bertanding jawatan tersebut walaupun dicalonkan. Datuk Seri Sharizat juga berjanji akan patuh kepada pelan peralihan, nasihat pemimpin-pemimpin besar parti serta menyatakan bahawa "kata akan dikota".

((PBR))

 

 

PELAN PERALIHAN KUASA

 

Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Tan Sri Rafidah berkata itu tidak lojik. Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka mass antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan. Tan Sri Rafidah juga berkata, sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, is bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Datuk Seri Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding. Keadaan itu akan menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkannya untuk memegang jawatan hingga Jun 2009.

((BERNAMA))

 

 

PERTAHANANAN – MODAL INSAN

 

Kementerian Pertahanan perlu menjadikan pelaburan dalam pembangunan modal insan sebagai salah satu agenda utama kementerian itu. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pelaburan dalam modal insan bukan sahaja dapat menghasilkan warga kerja yang berilmu dan berfikiran strategik. Sebaliknya turut membentuk sumber manusia yang peka dengan perubahan semasa. Datuk Seri Abdullah yang juga Menteri Pertahanan menyatakan demikian dalam teks ucapan beliau pada Majlis Sambutan Hari Kualiti dan Integriti di kementerian itu di ibu negara. Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop.

 

Datuk Seri Abdullah juga berkata dengan adanya tenaga kerja yang terlatih dan komited, Kementerian Pertahanan akan dapat mengekalkan monopolinya sebagai penggubal dasar, penasihat dan pelaksanaan dasar kerajaan dalam hal ehwal keselamatan negara. Katanya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan telah memperuntuk sejumlah peruntukan demi memastikan pembangunan modal insan yang dirancang dapat diaplikasi dengan lebih berkesan. Insentif yang diberikan kepada anggota tentera terutamanya mereka yang berpangkat rendah termasuklah dari segi penambahbaikan dalam skim perkhidmatan, peluang kenaikan pangkat serta penyediaan rumah kediaman dan prasarana yang selesa. Insentif tersebut turut diberi kepada bekas tentera.

((BERNAMA))

 

 

APEC

 

Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) perlu memberi keutamaan kepada usaha melaksanakan inisiatif Jendela Tunggal Apec. la bagi mempercepat pergerakan barang-barang melalui kastam untuk memudahkan perdagangan rantau. Semasa membuat saranan berkenaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu merupakan satu daripada cars untuk menghapuskan sebarang halangan dan sekatan perdagangan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan dan pelaburan. Sekaligus bagi memastikan aliran perdagangan dalam kalangan ekonomi Apec dipertingkat walaupun dalam situasi krisis ekonomi. Tan Sri Muhyiddin berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat menteri Apec sesi pleno di Lima, Peru.

               

Dalam pada itu Malaysia menyeru negara anggota APEC agar segera menguatkuasakan Resolusi 1816 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk membanteras aktiviti lanun di perairan antarabangsa. la bagi membolehkan perdagangan global lebih selamat. Ini dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semasa mesyuarat peringkat Menteri APEC. Beliau berkata sudah tiba masanya bagi semua anggota mempertimbangkan langkah-langkah untuk menangani isu aktiviti lanun di perairan antarabangsa dengan cara lebih berkesan.

((BERNAMA))

 

 

PELAN TINDAKAN NEGARA

 

Pelancaran pelan tindakan negara bagi mengatasi pengangguran, semalam membuktikan keprihatinan Kerajaan menangani masalah itu yang perlu diberi perhatian segera. la sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi negara, selain melahirkan modal insan yang berkualiti dan bertanggungjawab. Demikian dinyatakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam, CUEPACS, Encik Omar Osman ketika dihubungi berita radio RTM.

((PBR))

 

 

JKR

 

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menggariskan empat langkah utama atau 4-E bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, terutama yang melibatkan motosikal. la terdiri daripada Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran. 4-E merupakan resolusi Majlis Keselamatan Jalanraya Malaysia yang dikeluarkan pada 17-November lalu. Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata bagi tujuan itu, JKJR juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurangkan had laju motosikal dari 70 kepada 60 kilometer sejam. Datuk Suret bercakap dalam sidang media di Putrajaya.

((PBTV))

 

 

SPNB

 

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kerjasama Supernesa Sdn Bhd akan menyediakan 2-ribu 622 unit rumah mampu milik termasuk 48 unit rumah kedai kepada penduduk di daerah Lahad Datu di bahagian pantai timur Sabah. Pengurus Besar Lembaga Perumahan dan Perancangan Bandar Sabah, Jenar Lamdah berkata projek perumahan "Bandar Sri Gemilang" di Jalan Tungku itu merupakan projek ketiga yang dikendalikan oleh Supernesa Sdn Bhd. la bagi membantu golongan berpendapatan rendah memilik rumah mampu milik. Jenar berkata demikian selepas melawat ke tapak perumahan bandar Sri Gemilang, di Jalan Tungku, Lahad Datu, Tawau. Sebelum ini, Supernesa dipertanggungjawab membina rumah mampu milik di Batu 12, Jalan Apas, Tawau dan Laya Laya, Tuaran.

((BERNAMA))

 

 

KEMELUT EKONOMI

 

Kemelut ekonomi global memaksa industri berintensifkan buruh di Indonesia memberhentikan lebih 12-ribu pekerja. Para majikan mendakwa, krisis kewangan semasa mula memberi kesan kepada eksport bagi bulan ini. Akhbar harian Kompas melaporkan, tindakan negara pembeli menghentikan import mengakibatkan banyak syarikat terpaksa menghentikan pengeluaran bagi mengelak kerugian. ((DPA))

 

 

AGAMA

 

Perdana Menteri India Manmohan Singh merayu rakyat agar menolak amalan agama dan pembahagian etnik yang telah diamalkan sejak berabad-abad lamanya. Ini kerana amalam seumpama itu boleh digunakan oleh tokoh-tokoh politik yang berhasrat memecahbelahkan negara itu. Beliau membuat kenyataan itu ekoran penangkapan beberapa orang pemimpin Hindu yang dikaitkan dengan serangan bom yang pada awalnya didakwa dilakukan oleh pejuang Islam. Dalam ucapannya kepada tokoh-tokoh India di New Delhi, Manmohan berharap persaingan dalam politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk memecahbelahkan rakyat berasaskan kepada agama, kasta mahupun wilayah. Pada masa ini, polis India sedang menyiasat sekiranya pelampau Hindu terbabit dalam beberapa siri serangan nekad di seluruh negara itu sejak tahun lalu.

((AFP))

 

 

PAKISTAN

 

Di Pakistan, sebutir bom meletup ketika satu perarakan mayat di baratlaut negara itu hari ini, menyebabkan 7 orang terbunuh dan 40 yang lain cedera - 18 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal. Perarakan dari bandar Dera Ismail Khan itu membawa tokoh dari puak syiah yang mati ditembak semalam. Serangan dipercayai dilancarkan oleh anggota dari puak sunnah. Polis percaya bom berkenaan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

((AFP))

 

 

JEPUN – KOREA SELATAN

 

Jepun dan Korea Selatan menggesa negara jiran Korea Utara mengujudkan satu pelan damai bagi menamatkan program nuklearnya ekoran penangguhan dalam perjanjian perlucutan senjata yang dianjurkan oleh 6 negara. Menteri Luar Jepun, Hirofumi Nakasone mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Yu Myung-Hwan selepas menghadiri mesyuarat 2 hari para Menteri Luar Asia Pasifik di Lima, Peru. Nakasone memberitahu pihak media, Korea Utara perlu menyediakan satu dokumen padu bagi mengesahkan rangka kerja perlucutan senjatanya di bawah rundingan 6 pihak itu.

((AFP))

 

 

PBB

 

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu akan melaksanakan satu misi mencari-maklumat di Afghanistan. la bagi menilai semula keadaan di negara yang dilanda peperangan sejak 30 tahun lalu dan disifatkan sebagai ancaman kepada keselamatan dunia. Misi 15 anggota itu akan diketuai oleh Duta Itali ke PBB, Giulio Terzi di Sant'Agata. Turut serta ialah Duta Amerika Syarikat yang dilahirkan di Afghanistan, Zalmay Khalilzad. Dalam lawatan seminggu itu, para diplomat PBB itu akan melawat Kabul dan Herat. Kawasan lain tidak akan dikunjungi ekoran kebimbangan terhadap keselamatan mereka. Misi tersebut akan turut memberikan jaminan sokongan badan dunia itu kepada Kabul.

((AFP))

 

 

LAOS

 

Kanak-kanak sekolah di Laos mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari dengan bermain di padang sekolah tanpa menyedari terdapat 248 bom yang masih hidup tertanam di sekitar sekolah mereka. Bom peninggalan Perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1975 masih berselerak di negara kecil itu. Laos dengan keluasan 87-ribu kilometer padu menjadi negara paling banyak digugurkan pelbagai bentuk bom di dunia. Bagaimanapun, satu pertiga daripada bom-bom berkenaan gagal meletup menyebabkan ia menjadi ancaman kepada rakyat negara berkenaan. Dianggarkan 10 ribu 500 orang daripada 6.7 juta rakyat Laos terbunuh akibat saki-baki bom itu. 11 ribu 500 lagi cedera.

((AFP))

 

 

BADMINTON

 

Sukan. Badminton, Siri Super Terbuka China di Shanghai. Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir acara perseorangan lelaki. Pemain nombor satu dunia itu mengetepikan rakan senegara, Wong Choong Hann, 21-19, 19-21 dan 21-10 di peringkat suku akhir. Turut mara beregu wanita negara, Chin Eei Hui/Wong Pei Tty. Pilihan ke-2 kejohanan itu mengetepikan pasangan tuan rumah, Xie Jing/Zhong Qianxin, 21-15, 21-13. Perseorangan wanita negara, Julia Wong bagaimanapun tersingkir. Dia tumpas 17-21, 14-21 kepada pemain tuan rumah, Wang Lin.

((INTERNET))

 

 

ARKIB BERITA