Login  |  
DALAM BERITA
Thursday, March 11, 2010

pantun rtm2.jpg

Pasukan Kementerian Pelajaran muncul juara selepas menewaskan Kumpulan Seri Angkasa Kementerian Penerangan

PERTANDINGAN Berbalas Pantun Antara Kementerian Kali Ke-4 di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini, ibarat buku bertemu ruas apabila kedua-dua pasukan berentap kali kedua bagi merebut Piala Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Pusingan akhir menyaksikan dua musuh tradisi 2006, Kumpulan Kementerian Pelajaran dan Kumpulan Seri Angkasa Kementerian Penerangan itu, bagaimanapun memperlihatkan kefahaman dan kematangan masing-masing dalam membeli dan menjual pantun.

Selaras dengan tema Pantun Penghubung Silaturahim, pemantun tampil berhati-hati ketika menjual dan membeli pantun hingga lahir keseronokan berpantun selain usikan khalayak merangsang kedua-dua pihak untuk beradu kekuatan berbahasa.

Suasana sambutan Aidilfitri ternyata masih hangat apabila penganjur mewajibkan tema Silaturahim di Aidilfitri pada pusingan pertama dan Jenaka (pusingan kedua) menyebabkan Siti Zaileha A Salam dari Kementerian Pelajaran mendapat tepukan gemuruh khalayak.

Auditorium riuh seketika apabila beliau menjual pantun kepada lawan dengan gaya sebutan pelat Inggeris, lebih-lebih lagi pantun jenakanya berkisar mengenai individu yang lupa asal-usul selepas menetap di London.

Asakan Siti Zaileha mengenai orang Timur yang mula melupakan petai dan tempe tidak menggentarkan lawan kerana Seri Angkasa nyata bersedia daripada segala aspek dan taruhan Nurul Asmawati Harun memang tepat kerana pemantun itu berjaya memberi jawapan bersahaja hingga mengundang tawa khalayak.

Lapan puluh saat yang diperuntukkan kepada setiap peserta menyebabkan mereka bergelut menyusun ayat dan memilih diksi terbaik bagi menggempur lawan, tetapi kepakaran berbahasa tetap menyerlahkan kerana persediaan rapi peserta, walaupun ada pasukan mengakui membuat persiapan pada saat akhir.

Pusingan ketiga dengan tema bebas berdasarkan undian, memperlihatkan keragaman penyampaian kerana peserta tidak terikat selain aksi pemantun menjadi lebih bersahaja hingga khalayak turut merasai debar untuk mengetahui pemenang pertandingan.

Bagai dijangka, Kementerian Pelajaran menerusi Siti Zaileha A Salam, Siti Norliayana Markuni, Hazri Sabtu, Dhiya Husni Husin (simpanan) dan pengurus kumpulan, Mohamed Aswan Mat Adini meneruskan penguasaan apabila diumumkan juara.

Mereka membawa pulang wang tunai RM4,000, Piala Datuk Seri Dr Rais Yatim, piala iringan dan sijil penyertaan selain pasukan Kementerian Pelajaran mencatat kemenangan berganda apabila Siti Norliayana diumumkan pemantun terbaik dan melayakkannya menerima wang tunai RM500 dan piala iringan.

Pemenang kedua, Kumpulan Seri Angkasa yang dianggotai Nurul Asmawati Harun, Noor Hanah Mohd Nordin, Md Shahri Saripan, Salbiah Mohd Sharif (simpanan) dan pengurus, Mohd Zazmi Mohd Zain, menerima wang tunai RM2,500, piala iringan dan sijil.

Tempat ketiga menerima wang tunai RM1,500, piala iringan dan sijil dikongsi bersama Kumpulan Kementerian Hal Ehwal Dalam negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ketua Hakim, Dr Harun Mat Piah, kagum dengan kehandalan kedua-dua kumpulan apabila mengutarakan gaya berpantun yang hebat, bermutu tinggi, selaras dengan tuntutan disiplin itu dan mengakui peserta pertandingan tajam akal kerana berupaya menghasilkan pantun dalam masa singkat.

Beliau berpuas hati dengan keseluruhan pertandingan kerana menunjukkan perubahan positif daripada pelbagai aspek dan teguran tidak puas hati barisan hakim pada 2006 nyata meninggalkan kesan apabila pemantun kali ini tidak mengulangi kesilapan lalu.

"Pemantun berjaya memberi jawapan tepat dengan isi dan soalan yang dikemukakan kepada lawan juga mematuhi tema. Dari segi struktur, tahun ini juga menunjukkan ada peningkatan kerana pantun spontan mereka menampilkan rima akhir yang sempurna," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Zakiah Ahmad menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz.

Bagi membolehkan pembaca menilai kewibawaan pemantun dalam menjual dan membeli pantun pada pertandingan bertema Pantun Penghubung Silaturahim, diperturunkan beberapa pantun mereka:

Pohon rendang lebat daunnya
sayang patah riuk di dahan
ketupat rendang enak rasanya
mengapa KFC jadi pilihan?

Ke Pulau Jawa naik feri
hendak membeli kain kasa
ketupat rendang tetap di hati
KFC sekadar penambah rasa.

Dari tanjung mudik ke laut
jangan lupa membawa raga
tinggi menggunung ilmu kau tuntut
Bahasa Melayu kenapa kaulupa?

Kelapa puan tumbuh di paya
burung kenari datang mendekut
kenapa tuan menyoal saya
tuan sendiri pelat menyebut.

 

 

Korban beraya demi kerjaya

Oleh Zazmie Zain

korban raya3 (Small).jpg

      Rafini Othman              Mohd Firdaus Isa          Azizah Yaccob        Haslinda Hassan

Ketika fajar 1 Syawal disambut dengan riang gembira bersama sanak saudara dan kaum keluarga. Tetapi dalam keriangan itu, banyak juga yang terpaksa meraikannya di tempat kerja.

Ini kerana tidak semua bidang kerjaya menjanjikan Aidilfitri mesti diberi pelepasan untuk bersama keluarga. Mereka yang memilih kerjaya sedemikian tidak pernah menyesal sekalipun terpaksa beraya di tempat kerja.

Selain pasukan beruniform seperti polis dan tentera, mereka yang menjadi warga media juga perlu berkorban untuk melupakan dulu keseronokan beraya di kampung halaman bersama sanak saudara.

Bagi mereka tugas yang menanti perlu dilunaskan ketika rakan-rakan lain memperoleh kesempatan meluangkan masa bercuti.

Itulah pengalaman yang tidak dapat dielakkan oleh sebahagian petugas di Pusat Berita Radio, RTM yang sudah lali dengan situasi menyambut hari raya di pejabat. Biar apa pun halangannya, berita harus ke udara tepat pada masanya,

Alah bisa tegal biasa, itulah jawapan Rafini Othman ketika diajukan soalan tentang perasaaan bekerja pada hari raya.

Menurut Rafini, keluarganya amat faham dengan tuntutan tugas yang tidak mengizinkan beliau sekeluarga menyambut 1 Syawal di kampung.

“Walaupun perlu bertugas pada hari raya namun saya sempat berkunjung ke rumah mentua di Jenderam, Selangor. Cuma tidak berkesempatan pulang ke kampung saya di Kangar,” kata Rafini yang bertugas di meja pemberitaan.

Bagi Haslinda Hassan dan Noorhafizatul Sarah Thahil yang bertugas di meja penyuntingan, melaksanakan tanggungjawab pada hari raya adalah rutin.

“Siapa kata beraya di pejabat tak seronok. Kami juga berpeluang menikmati lemang dan ketupat serta bertukar-tukar juadah,” ujar Haslinda.

Dalam sibuk bekerja Haslinda atau Linda sempat juga menempah beberapa helai baju untuk pakaian sendiri serta suami dan anak tunggalnya.

Ditanya kenangan hari raya yang sukar dilupakan, Linda terbayang kemeriahan ketika zaman kanak-kanak apabila berkunjung dari rumah ke rumah untuk ‘mengumpul’ duit raya.

Lain pula bagi Noorhafizatul Sarah Thahil, walaupun masih belum berkeluarga. Dia keseronokan bekerja pada hari raya tetap berbaur kesedihan apabila terkenangkan kedua ibu dan bapa serta keluarga di Taiping, Perak.

Biasanya setiap pagi raya Sarah akan menikmati ketupat dan ayam masak merah sebagai hidangan kegemaran.

“Tahun ini persiapan ala kadar saja. Saya memilih untuk membeli pakaian siap. Tentang duit raya tu adalah sikit-sikit untuk adik-adik dan anak buah,” jelas Sarah yang dikenali sebagai gadis periang dan suka mengusik.

Jika wartawan dan editor terpaksa beralah setiap kali tibanya hari raya, penyampai berita juga tidak terkecuali. Seperti deejay, suara mereka juga akan bersilih ganti dengan dendangan lagu-lagu popular hari raya di udara.

Antara yang kena giliran bertugas pada Aidilfitri kali ini ialah Nizamiah Asiqin Mohd. Zukni dan Mohd. Firdaus Isa. Tahun kedua menyambut hari raya di samping suami, Nizamiah atau Mia tetap akan ke udara dengan ceria sewaktu menyampaikan berita.

“Cuma kena jaga makan takut nanti menjejaskan suara, maklumlah sajalah waktu begini memang payah nak cari pengganti. Perlu elak yang pedas-pedas dan minum air batu,” jelas Mia yang gemar makan ketupat dan kuah kacang masakan ibu.

Bagi Firdaus Isa pula beliau bangga bertugas ketika teman-teman lain bercuti kerana dapat terus mendampingi pendengar membawakan berita-berita terbaharu.

“Cuma setiap kali nak ke udara saya akan rasa terharu dan sebak sekiraya ada berita tentang kemalangan jalan raya lebih-lebih lagi yang meragut nyawa pada hari yang mulia ini,” kata Firdaus, anak kelahiran negeri jalapang padi, Kedah.

“Tahun ini saya akan bekerja mulai hari raya pertama hingga keempat, menyampaikan berita dan mengemas kini laman web Pusat Berita Radio.”

korban raya2 (Small).jpg

PANCAINDERA AHAD 14 OKTOBER, 2007

sembang menteri (Small).jpg

Berita Harian, Rabu 16 MEI 2007

Pembaca.jpg

Utusan Malaysia, Selasa 6 Februari 2007

iklan TIMBR.jpg

Utusan Malaysia, Rabu 24 Januari  2007


Air Raves.jpg

The STAR, Ahad 21 Januari 2007

Scan10006.JPG

Pancaindera Mingguan Malaysia, Ahad 22 Oktober 2006

Scan10008.JPG

Kosmo, Selasa 12 Disember 2006




Radio.jpg

Utusan Malaysia Rabu, 27 Disember 2006


MSISO1.jpg

Berita Harian, April 2005