Login  |  
SINGGAH BERJEJAK
Friday, March 12, 2010
Text/HTML
SINGGAH BERJEJAK : GUIYANG YANG INDAH PERMAI

SINGGAH BERJEJAK : GUIYANG YANG INDAH PERMAI - 2008

 

oleh : Zaharudin Pilus

 

Yang mengikuti rombongan wartawan Beijing ke Guiyang, ibukota provinsi Guizhou, China baru-baru ini bagi  mempromosi kawasan itu sebagai tarikan pelancong luar untuk percutian musim panas yang menarik.

 

            Pihak berkuasa Kerajaan Tempatan Guiyang di provinsi Guizhou di selatan China berusaha menarik kunjungan pelawat ke kawasan itu.  Ini kerana kawasan tersebut menawarkan destinasi untuk percutian yang sama hebat seperti  di Kunming, provinsi Yunnan, 500 kilometer ke- selatan wilayah tersebut, yang sering menjadi kunjungan pelawat luar terutama dari Malaysia kerana persekitarannya yang indah. Oleh itu satu lawatan penting diatur oleh pihak berkuasa berkenaan dengan Radio Antarabangsa China, CRI dengan mengundang pakar-pakar asing yang berkhidmat di stesen radio tersebut melihat sendiri perkembangan yang menarik di kawasan itu. 

 

            Seramai 15 orang ahli rombongan dari CRI yang terdiri daripada lapan pakar asing dari perkhidmatan Melayu, Inggeris, Tamil, Swahili, Lao, Mongol, German dan Czech serta seorang penterjemah perkhidmatan Inggeris untuk mempermudahkan komunikasi dengan penduduk tempatan, berlepas ke Guiyang untuk lawatan lima hari.  Turut serta, wartawan The China Daily, Central China Television, CCTV, China National Radio, CNR, akhbar-akhbar tempatan Beijing dan seorang sarjana, Prof. Wang Feng Xin dari Universiti Peking.  Ketua rombongan, Xin Liunchai berkata, pakar-pakar asing yang mengikuti rombongan akan menceritakan pengalaman sepanjang perjalanan mereka, dalam laman web perkhidmatan masing-masing.    

 

    Peserta rombongan yang tiba pada petang 28 Ogos 2008 dan menginap di Hotel Guiyang Park dialu-alukan dalam satu majlis jamuan malam di hotel berkenaan oleh Naib Datuk Bandar Guiyang, Li Zhong. Beliau berharap pelancong asing akan mula menjengah kawasan Guiyang, ibu kota provinsi Guizhou yang mempunyai pemandangan indah bergunung-ganang dan lembah  hijau yang harmoni. Kawasan ini sesuai untuk percutian keluarga kerana ia tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk pada musim-musim berkenaan. Lalu program “Guiyang yang nyaman” dibuat sebagai satu daya tarikan pelancong. Ini adalah wajar kerana Guiyang telah terpilih sebagai Tempat Peranginan Musim Panas yang terbaik di seluruh China tahun 2007.

 

     Pada hari pertama lawatan, bas rombongan peserta coaster 20 tempat duduk, disertai oleh dua buah bas coaster  lagi iaitu wartawan daripada media cetak dan elektronik tempatan Guiyang dan staf dari kerajaan tempatan. Tempat tujuan ialah Jinyang, sebuah kawasan pertadbiran dan perdagangan yang seakan-akan menyamai Shanghai Pudong atau seperti Putrajaya.

 

     Penduduk minoriti terbesar di provinsi Guizhou ialah etnik Miao. Sebilangan besar mereka terdapat di Guiyang. Usaha untuk mempertahankan warisan etnik ini dilakukan oleh Kerajaan Tempatan Guiyang bagi memastikan warisan ini tidak hilang kerana sejarahnya yang lama di China. Sebuah muzium etnik ini telah dibina di Jinyang bagi mengumpulkan warisan bersejarah etnik tersebut. Rombongan berpeluang singgah ke muzium berkenaan untuk melihat sumbangan etnik Miao. Muzium warisan sejarah Miao yang bertemakan pakaian itu kerana etnik tersebut terkenal dengan warisan pakaian yang berwarna-warni. Sebaik-baik sahaja menjejakkan kaki ke halaman muzium jelas tertera tema tersebut di pintu muzium.

  

     Pengarah muzium, Zeng Li, sudah sedia menunggu kedatangan anggota rombongan. Dalam taklimatnya, beliau berkata kerajaan tempatan menyumbangkan bantuan pembinaan muzium bagi memelihara warisan etnik Miao yang asal-usulnya dari Guiyang. Bahan-bahan pameran daripada hasil pengumpulan seorang sarjana, Zeng Xianyang yang banyak membuat kajian mengenai etnik tersebut. Beliau yang berminat dengan sejarah dan tinggalan etnik Miao melakukan sumbangan besar dalam pengumpulan bahan warisan etnik itu. Usahanya itu diteruskan oleh anaknya Zeng Li apabila dia meninggal dunia tahun lalu kerana penyakit tb. Apa yang menarik perhatian ialah Zeng Xianyang adalah dari etnik Han yang bersungguh-sungguh memelihara warisan etnik Miao.

 

     Para peserta kemudian dibawa ke Kaunti Huaxi menjengah kawasan pergunungan yang terdapat air terjun menarik dan sungai bawah tanah di Taman Huaxi.  Sungai yang mengalir menerusi gua-gua gelap di bawah banjaran gunung dijadikan kawasan rekreasi aktiviti bersampan dan seterusnya mengalir keluar menjadi air terjun yang indah di kawasan yang lebih rendah. Air terjun Naga Tidur dianggap air terjun yang tercantik di China. Pemandu pelancong, In Zhunzhun yang berpakaian serba merah gadis etnik Miao memberi penerangan kepada peserta rombongan. Peserta kemudian berlepas ke pekan lama Qingyan menikmati panorama kawasan pasar seni dan antik. Pekan tradisi yang masih utuh dengan benteng dan gerbang yang unik mengelilinginya.

 

     Hujan lebat pada tengah malam membawa ke pagi esoknya tidak menghalang bas rombongan yang diiringi kereta polis untuk sampai ke Kaunti Kaiyang yang bergunung-ganang menerusi laluan seperti perjalanan ke Cameron Highlands. Jalan yang berliku-liku dalam hujan renyai-renyai memberi pandangan indah bendang dan kebun curam di kaki bukit yang ditanami padi yang berselang-seli dengan jagung di bahagian tebing dan sedikit pokok bunga matahari, cili dan terung. Selepas melalui pekan Hefeng yang nampak muram disimbah hujan, rombongan sampai ke kawasan lapang disambut pegawai-pegawai Kaunti Kaiyang untuk masuk ke kawasan perkampungan etnik Buyi, penduduk asal di kaunti itu. Pemandu pelancong yang bertugas untuk hari itu, Vicky berpakaian tradisi gadis etnik Buyi, adalah dari etnik Han.

 

     Ketika melalui tepi Sungai Qinglong di kawasan lembah itu untuk naik ke kawasan tanah tinggi Kampung Matou, air sungai sudah melimpah sedikit kesan hujan lebat semalaman. Bas coaster mendaki dengan kepayahan kerana jalan kampung agak berliku dan ada tebing yang runtuh kerana hujan. Selapas selamat naik melepasi kawasan kampong, bas terus bergerak sehingga sampai ke sebuah tanah lapang hentian sebelah untuk menyaksikan panorama menarik kawasan lembah, Dataran Emas. Ia kawasan tanaman padi yang luas dan diselang-seli dengan jagung dan tanaman lain membentuk lingkaran lima simbol Olimpik sebagai mengalu-alukan China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

 

     Rombongan kemudian berpatah balik ke kampung Matou untuk melihat warisan sejarah etnik Buyi yang terpelihara baik. Tetapi kesan hujan lebat dikhuatiri menghalang bas turun dengan lancar lalu peserta dikehendaki menaiki kereta pegawai-pegawai kaunti yang mengiringi bas tadi. Merasalah menaiki kereta peronda polis yang mengiringi bas rombongan. Di Kampung Kepala Kuda” itu peserta menyaksikan  rumah-rumah tradisi etnik Buyi yang masuk dalam program pemeliharaan warisan sejarah oleh Kerajaan tempatan. Kampung asal penduduk etnik minoriti Buyi dan sedikit etnik minoriti Dong itu dahulunya didatangi oleh etnik Han dan mereka tinggal dalam keadaan harmoni sehingga sekarang.  

 

     Peserta kemudian turun ke kawasan lapang tadi ketika hujan masih lagi renyai-renyai. Bas rombongan sudah menanti di kawasan berkenaan untuk meneruskan perjalanan menyusur Sungai Qinglong ke selatan, ke sebuah lagi kampung etnik Buyi, Kampung Shuituo. Di sini sambutan meriah diterima oleh peserta rombongan dengan nyanyian tradisional pasukan koir yang berwarna serba biru. Peserta kemudian perlu melepasi perangkap tarian buluh sebagai syarat memasuki kampung tersebut.

 

Di kampung ini, dapat disaksikan usaha penduduk mengatur pendidikan anak-anak dengan menyediakan sebuah sekolah tradisi lengkap dengan peralatan belajar secara lama. Di sini juga terdapat kilang tradisi membuat tuak, membuat tahu dan taufufa  serta membuat mee menggunakan mesin tradisi yang digerakkan oleh kincir dari Sungai Qinglong. Pada awal petang, bas rombongan meninggalkan kampung dan pekan Hefeng dengan penuh kenangan indah. Tidak jauh dari pekan itu, bas membelok ke kanan menuruni tebing berhampiran Sungai Qinglong yang arusnya mengalir deras. Peserta kemudian berjalan ke jembatan gantung menyeberangi sungai yang sudah sedia menunggu kumpulan koir penduduk kampung yang berpakaian hijau untuk acara sambutan. Dari jauh lagi sudah kedengaran alunan lagu-lagu tradisi daripada kumpulan koir warga emas tersebut.  

  

     Kampung Ping penduduk etnik Buyi ini sedang dilanda pembangunan. Ia terletak di kaki gunung dan semacam terpisah dari dunia luar oleh Sungai Qinglong. Kawasan kampung yang terhampar paya yang dipenuhi pokok teratai itu diberi perhatian besar oleh kerajaan tempatan kerana potensinya dalam pelancongan. Selepas acara sambutan berhampiran jembatan gantung, peserta diberi persembahan dramatari pendek oleh kumpulan koir tersebut di sebuah koridor yang memanjang ke selatan berhampiran kampung. Koridor itu terentang dengan di hadapannya Sungai Qinglong dan di belakangnya hamparan lembah teratai dan kampung tradisi.

 

     Setelah berjalan mengelilingi kampung di kaki gunung itu peserta kembali ke kawasan sambutan tadi dan berada di sebuah restoran dan kemudahan desa lain. Ia adalah restoran desa serba lengkap dengan tempat penginapan yang menunggu pengunjung dari bandar yang sering datang untuk lari daripada kesibukan kota ke kawasan sunyi untuk menikmati masakan asli kampung yang enak di samping aktiviti memancing dan berkayak serta bermain mahjong. Siapa sangka kampung dengan penghuni seramai 216 orang daripada 54 keluarga menyediakan sebelas buah restoran tradisi untuk pengunjung terutamanya pada hujung minggu. Usaha itu menguntungkan dan kini mereka berusaha pula menarik pengunjung dari luar negeri ke kampung berkenaan.

 

     Hari berikutnya peserta rombongan ke Yangmingyuan di Kaunti Xiuwen melihat usaha memelihara warisan seorang sarjana yang berusaha keras meningkatkan pendidikan penduduk. Wang Yangming, pegawai kerajaan yang dibuang negeri ke kawasan terpencil itu kerana sering mengkritik maharaja telah mengembangkan  pemikiran baru berbeza daripada Konfusius. Usahanya itu mendapat sambutan penduduk dan ramai yang berguru dengannya. Ajarannya berkembang sehingga ke Korea dan Jepun. Kerajaan tempatan memelihara warisan kediamannya iaitu sebuah gua kecil yang menuju ke terataknya di puncak bukit. Sebuah muzium dibina bagi mengumpulkan warisan sarjana ini dan kerajaan sedang membesarkan kawasan itu dengan membina dataran baru yang akan diisi dengan pelbagai kegiatan kesenian.

 

     Peserta kemudian dibawa ke Kelab Golf Guiyang mencuba kemudahan moden rekreasi dan berseminar. Ia satu-satunya kelab golf termoden di Guiyang lengkap dengan penginapan mengadap tasik yang indah. Pada sebelah petang peserta dibawa ke sebuah zoo hidupan liar di Zazha. Di sini pengunjung menyaksikan 5000 jenis hidupan liar yang tinggal dalam kurungan yang luas seperti habitat asal mereka. Sebilangannya binatang yang hampir pupus seperti Harimau Siberia. Peserta yang mengikuti rombongan besar menaiki konvoi kereta bateri mengelilingi kawasan zoo yang luas itu. Di tempat kurungan gajah, konvoi berhenti seketika untuk peserta menyaksikan persembahan akrobatik gajah-gajah dari Thailand di Pavilion Gajah.

 

     Kenangan indah di Guiyang tidak mungkin boleh dilupakan. Ia memberi satu macam kepuasan menyaksikan keadaan China yang sebenarnya. Sekiranya ada yang mengatakan rugi kalau ke China tidak melawat Kunming kerana keindahannya maka sebagai pilihan berkunjung  ke Guiyang boleh mengubat rasa terkilan itu kerana ia juga indah dan nyaman.

SINGGAH BERJEJAK

CATATAN PERJALANAN ROHANA OMAR YANG MENGIKUTI PROGRAM PERTUKARAN MEDIA ASEAN KE INDIA DARI 23 NOVEMBERHINGGA 2 DISEMBER 2006.

 ASEAN-India Media Exchange 1 017.jpg

Apabila menyebut tentang negara India, apa yang terbayang pada saya ialah bintang-bintang filem Bollywoodnya yang cantik jelita dan handsome bergaya serta lagu-lagu filem yang merdu dan mendayu-dayu.  Nama-nama seperti Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachan, Salman Khan dan Aishwarya Rai sudah tidak asing bagi saya.  Filem-filem lakonan mereka saban minggu dapat di tonton di kaca televisyen kita.  

 

            Bagaimanpun pengalaman berada di negara itu selama 10-hari memberi saya peluang melihat pelbagai wajah India.  Ini kerana selain memiliki industri perfileman yang besar, India juga adalah main player dalam pelbagai bidang lain khususnya teknologi tinggi, teknologi maklumat, perubatan, angkasalepas dan farmaseutikal.   Peluang menyertai Program Pertukaran Media ASEAN ke India akhir tahun lalu memberi saya kesempatan melihat kepelbagaian itu.   

 

         Program Pertukaran Media ASEAN-India ini diadakan dengan matlamat untuk meningkatkan pengetahuan wartawan dan pengamal media ASEAN mengenai India melalui aktiviti lawatan, temuramah dan dialog dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemimpin pelbagai industri  negara itu.   Ia juga bagi mendedahkan peserta dengan keadaan sebenar situasi politik, ekonomi dan pembangunan sosial negara berkenaan di samping meningkatkan jalinan kerjasama antara pengamal-pengamal media ASEAN dengan India.  

 

ASEAN-India Media Exchange 1 004.jpg

 

            Program yang saya sertai merupakan kali kedua diadakan.  Aktiviti diadakan dari 23 November hingga 2 Disember 2006.  Program dianjurkan oleh Sekretariat Asean yang berpusat di Jakarta dengan kerjasama kerajaan India.  Inisiatif ini diteruskan selepas program pertama yang berlangsung pada tahun 2004 membuahkan hasil yang positif. 

           

              Program disertai oleh 15 orang pegawai  khususnya pihak media dari 10 negara ASEAN.   Malaysia diwakili oleh 2 orang pegawai dari Kementerian Penerangan.  Selain saya yang mewakili Jabatan Penyiaran seorang lagi peserta Malaysia ialah dari Jabatan Penerangan.  Peserta-peserta lain ialah masing-masing 2 orang dari Indonesia, Brunei,  Kemboja, dan Laos, serta masing-masing seorang peserta dari Filipina, Singapura, Myanmar, Thailand dan Vietnam. 

 

            Sebahagian besar daripada peserta mewakili media utama di negara masing-masing.  Antaranya ialah wartawan stesen Radio Sonora fm 92.0 Jakarta, penyampai berita Lao National Television, Editor dari Singapore Press Holdings, wartawan The Brunei Times serta Bali Post, Timbalan Chief Editor Myanmar News Agency, dan Pengarah Wilayah Philipine Information Agency serta saya sendiri dari Pusat Berita RTM.  Peserta lain terdiri daripada para pegawai Kementerian Penerangan di negara masing-masing.

                                               

 

      

 

            Sepanjang 10 hari berada di India, peserta bukan sahaja dibawa melawat ke tempat-tempat pelancongan yang menarik dan bersejarah, malah kami di bawa ke pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan serta didedahkan dengan kemajuan teknologi India.  Peserta turut berpeluang meninjau pekembangan sektor pendidikan, perindustrian, farmaseutikal dan aeroangkasa.

 

            Kami juga dibawa melawat ke seluruh pelosok India dari pusat pentadbiran di New Delhi sehinggalah ke nadi perdagangan India di Mumbai.  Pendek kata meyusuri  New Delhi, Agra, Hyderabad, Banglore, Mysore dan Mumbai boleh dianggap sebagai melawat seluruh India.   

 

           

23 November 2006

Saya dan seorang lagi peserta Malaysia berlepas dari KLIA jam 6.40 petang. Penerbangan ke New Delhi mengambil masa kira-kira lima jam.  Ketibaan kami pada jam 9.30 malam waktu tempatan di sambut oleh wakil pengurusan dan dibawa terus ke hotel penginapan di Hotel Fortune Select, Gurgaon.  Perjalanan mengambil masa 45 minit melalui jalan yang sesak. Bunyi hon kenderaan di sepanjang perjalanan membingitkan. Bagaimanapun di sebalik kesesakan itu saya tertarik melihat beberapa papan iklan gergasi yang terletak di sepanjang jalan menuju ke hotel.  Ia mempromosi Global Indian Film Awards (GIFA) 2006 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur mulai 7 Disember 2006.

 

 

24 November 2006

 

Sesi suai kenal antara peserta Program Pertukaran Media ASEAN-India berlangsung di ruang legar hotel.  Lima belas peserta menyertai aktiviti ini.  Kebanyakan peserta tiba lewat malam dan awal pagi.  Seorang peserta dari Vietnam terpaksa menempuh perjalanan yang panjang.  Beliau terpaksa terbang ke Thailand, dan transit selama 7 jam di Bangkok sebelum meneruskan penerbangan ke Delhi.  Kami kemudian diperkenalkan kepada Pegawai Penyelaras Program bagi pihak Kerajaan India, N.Venkataraman.  Beliau merupakan Pegawai Publisiti di Kementerian Hal Ehwal Luar, India.  Pegawai Penerangan ASEAN pula ialah Erie Vitria Trisanty.

 

ASEAN-India Media Exchange 1 050.jpg

 

            Aktiviti hari pertama  di New Delhi ialah mengunjungi setiausaha kepada Menteri Luar India, N. Ravi.  Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu peserta diberi penerangan ringkas mengenai hubungan ASEAN-India.  Kami juga berpeluang mengemukakan pelbagai soalan yang melibatkan hubungan India dengan negara masing-masing.  Menurut Encik Ravi, kerjasama antara ASEAN dengan India semakin meningkat.  Ini meliputi segala bidang termasuk perdagangan, pelancongan, dan pembinaan.  Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar India di kalangan negara ASEAN selepas Singapura.   Pada masa ini terdapat 38 syarikat Malaysia terlibat dalam sektor pembinaan di negara itu.

 

            Pada sebelah petangnya, peserta meneruskan aktiviti berdialog dengan ahli-ahli Persekutuan Industri India (Confederation of Indian Industry).  Badan itu diwakili oleh Ketua Dasar Perdagangan Antarabangsa, T. S. Vishwanath dan Ketua Dasar Ekonomi, Marut Sen Gupta.  Turut serta ialah Ketua Pengarah Persatuan Pengeluar Automobil India, Dilip Chenoy.  Persatuan tersebut yang merupakan salah satu anggota Persekutuan Industri India, mengeluarkan 1.3 juta kenderaan penumpang dan 400 ribu kenderaan perdagangan dalam tempoh 12 bulan bermula April 2005.

 

            Aktiviti terakhir pada hari pertama ialah melawat Delhi Metro, iaitu rangkaian pengangkutan moden di ibu negara India.  Perkhidmatan pengangkutan ini sama seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdapat di Malaysia.  Ia merupakan projek usaha sama antara Kerajaan India dengan kerajaan negeri New Delhi.  Operasinya diuruskan oleh Delhi Metro Rail Corporation Limited.  Selain diberi taklimat mengenai kemajuan projek berkenaan, peserta berpeluang menaiki perkhidmatan tersebut.  Fasa pertama rangkaian Delhi Metro sepanjang 59 kilometer dengan 3 laluan siap sepenuhnya November 2006.

 

                                                    ASEAN-India Media Exchange 1 007.jpg

 

25 November 2006

 

Pada hari kedua, peserta dibawa melawat kawasan pelancongan di Agra yang terkenal dengan istana cinta Taj Mahal.  Perjalanan pergi balik ke destinasi itu mengambil masa kira-kira 10 jam.  Walaupun jaraknya kira-kira 400 kilometer (pergi balik), kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan menghalang kenderaan bergerak lancar.   Selain dikunjungi pelancong asing, Taj Mahal turut dilawati oleh warga India sendiri yang rata-rata amat berbangga dengan budaya dan sejarah mereka.  Ribuan pelawat sanggup berbaris panjang di pintu masuk setiap hari dan terpaksa melalui kawalan keselamatan yang ketat  untuk menyaksikan Taj Mahal yang indah senibinanya dan menjadi tapak warisan dunia yang dilindungi.

 

26 November 2006

 

Pada awal pagi, peserta berlepas ke Hyderabad, yang juga dikenali sebagai Bandar raya Siber.  Penerbangan mengambil masa kira-kira 2 jam.  Selepas mendaftar di Hotel Aditya Park Inn dan makan tengah hari, kami dibawa melawat ke beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti monumen Charminar dan Golconda Fort. 

 

27 November 2006

 

Aktiviti yang kami sertai semakin menarik.  Lawatan ke Hyderabad Information Technology Engineering Consultancy (HITECH) City memenuhi impian kami untuk melihat kemajuan dan perkembangan teknologi di Lembah Silikon Timur ini.  Banyak syarikat mega beroperasi di sini.  Antaranya ialah IBM, Microsoft, Dell dan General Electric.

 

ASEAN-India Media Exchange 1 076.jpg 

 

            Rombongan juga mengunjungi Indian School of Business (ISB), sebuah pusat pendidikan antarabangsa di Gachibowli, yang menyediakan program Pengurusan di peringkat sarjana, kedoktoran dan juga program pendidikan eksekutif untuk golongan eksekutif perniagaan. Antara rakan kerjasama ISB ialah beberapa sekolah perniagaan ternama dunia seperti London Business School dan Kellogg School of Management.

 

            Pusat Konvensyen Antarabangsa Hyderabad (HICC) turut disenaraikan dalam aktiviti lawatan.  Ia merupakan pusat konvensyen bertaraf dunia yang pertama di Asia Selatan.  Terletak di kawasan seluas 15 ekar, HICC mempunyai saiz, kemudahan, teknologi dan pengurusan yang setara dengan pusat-pusat konvensyen terkemuka dunia di Dubai, Toronto mahupun Paris.

 

            Aktiviti hari ini diakhiri dengan lawatan ke ibu pejabat Majlis Galakan Eksport Farmaseutikal India yang terletak di Ameerpet.  Selain berperanan sebagai agensi tunggal yang mengeluarkan sijil kepada para pengekspot, majlis tersebut turut menganjurkan pertemuan antara pembeli dengan penjual, serta mengadakan pameran dan seminar, bukan sahaja di dalam negara, malah di serata dunia.  Di Malaysia, Pameran Kesihatan Kawasan Asia Tenggara diadakan di Kuala Lumpur pada April 2006. Semasa sesi soal jawab dengan peserta, Pengarah majlis berkenaan, M. Roja Rani memberitahu Malaysia mengimpot ubat-ubatan dan produk farmaseutikal bernilai US16.87 juta dari India bagi tempoh April hingga Julai 2006.

 

Turut mencuri tumpuan saya semasa berada di Hyderabad ialah kes perbicaraan pelakon terkenal Bollywood, Sanjay Dutt.  Sanjay didakwa terlibat dalam siri pengeboman di Mumbai pada 1993 yang mengorbankan 257 orang.  Sehari sebelum dia hadapkan ke mahkamah, berita itu menjadi tajuk utama media India.   Kegusaran bersarang di benak saya kerana bimbang kemungkinan berlaku kekecohan berhubung keputusan yang bakal dijatuhkan terhadap pelakon terbabit.  Bagaimapun syukurlah tidak ada insiden tidak diingini berlaku.  Mahkamah Mumbai mendapati Sanjay bersalah memiliki senjata api, tetapi menolak penglibatannya dalam konspirasi serangan pada tahun 1993. 

  ASEAN-India Media Exchange 1 010.jpg

 

28 November 2006

 

             Selepas Hyderabad, peserta meneruskan perjalanan ke Banglore, ibu negeri Karnataka.  Penerbangan mengambil masa satu jam.  Berbeza dengan New Delhi, keadaan di Banglore lebih tersusun.  Kami menginap di Hotel Windsor Sheraton and Tower.

 

            Aktiviti pertama di Banglore ialah kunjungan ke ibu pejabat  Indian Space Research Organistion (ISRO). Kami diberi taklimat oleh Pengarah Kerjasama Antarabangsa ISRO, Jacob Ninan mengenai perkembangan program angkasa  India.  Organisasi ini terletak di bawah  bidang kuasa Jabatan Angkasa yang ditubuhkan pada tahun 1972 dengan tujuan untuk mengalakkan pembangunan dan aplikasi sains dan teknologi angkasa bagi faedah sosio-ekonomi. Teknologi angkasalepas  digunakan secara meluas dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teleperubatan, aktiviti mencari dan menyelamat serta ramalan cuaca.  ISRO mempunyai seramai 16 ribu tenaga kerja, dengan 11-ribu daripadanya adalah pekerja teknikal.

 

            Penjelajahan ke India diteruskan dengan lawatan ke kilang pengeluar motosikal TVS yang terletak di Hosur, Tamil Nadu.  TVS Motor Company Limited adalah pengeluar motorsikal ketiga terbesar di India, dan antara 10 terbesar di dunia.  Syarikat itu juga menjadi dua pengeluar pertama di dunia yang dianugerahkan The Deming Prize kerana pengurusan kualiti menyeluruh yang diamalkannya. Kami turut dibawa melawat kilang pemasangan komponen motosikal di situ.  Sebuah lagi kilang TVS beroperasi di Mysore.   Pada masa ini syarikat berkenaan mengeluarkan 1.5 juta motosikal setahun.  Dalam taklimat kepada delegasi, Naib Presiden Kanan Perniagaan Antarabangsa TVS Motor Company Limited, H.S.Goindi menyatakan pihaknya kini memulakan kerjasama dengan Indonesia dalam pengeluaran kenderaan, dan bercadang memperluaskannya kepada negara-negara ASEAN yang lain.             

 

 

   
29 November 2006

 

            Pada hari keenam di India, peserta mengunjungi kampus INFOSYS dan melawat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) di Banglore.  INFOSYS Technologies Limited adalah sebuah syarikat teknologi maklumat terbesar di India.    Ia berurusan dengan syarikat-syarikat terkemuka Global 2000 untuk mencari penyelesaian dalam pelbagai bidang termasuk perbankan dan pasaran modal, insurans, kesihatan, pengangkutan, automatif dan aeroangkasa.  Ibu pejabatnya di Banglore menempatkan kampus IT yang terbesar di dunia.  Kampus ini merupakan sebuah bandar tersendiri. Di sini segalanya disediakan, baik dari pusat perniagaan, bank, salun mahupun gimnasium.  Di kampus ini, usaha memelihara kawasan hijau dan kebersihan menjadi keutamaan.  Kenderaan tidak dibenarkan memasuki kampus.  Kebanyakan penghuninya berbasikal atau berjalan kaki untuk ke satu-satu kawasan.

 

            HAL merupakan salah satu lagi mercu tanda kemajuan teknologi India. Keupayaannya dalam bidang teknologi aeroangkasa merangkumi aspek reka bentuk, membangun, mengeluar dan menyenggara pesawat, helikopter, engin dan peralatan penerbangan.  HAL juga mengekspot produk dan perkhidmatan kepada beberapa negara dan syarikat peneraju aeroangkasa antarabangsa.  Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain adalah antara pelanggan HAL.  Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, Bahagian Helikopter Hindustan Aeronautics Limited telah mengeluarkan lebih daripada 600 Cheetah dan Chetak (Allouette III). Dhruv adalah helikopter generasi terbaru yang dikeluarkan oleh HAL.

 

30 November 2006

 

           Kami berlepas ke Mysore yang dikenali sebagai Bandar raya Taman (Garden City) melalui jalan darat untuk melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di salah sebuah lagi daerah di negeri Karnataka itu.  Perjalanan dari Banglore sejauh 150 kilometer mengambil masa hampir 3 jam.  Pemandangan disepanjang perjalanan  ke Mysore  amat menarik,  Kami melalui pekan kecil dan kawasan pertanian yang menghijau.  Perjalanan juga agak lancar dan sesekali kenderaan yang kami naiki berselisih dengan kereta-kereta lembu yang membawa pelbagai muatan.   Di Mysore, peserta program dibawa melawat Rumah Tetamu Kerajaan dan Istana Mysore yang cantik senibinanya.

 

Pada malamnya kami berlepas dari Banglore menuju ke destinasi terakhir di  Mumbai. Penerbangan mengambil masa satu setengah jam.  Di Mumbai, kami menginap di Hotel Best Western The Emerald di Juhu.  Juhu merupakan kawasan pelancongan pinggir pantai yang popular di kalangan warga asing.   Mumbai yang dihuni kira-kira 16 juta orang merupakan pusat perdagangan utama India.  

 

1 Disember 2006

 

           Perjalanan ke India hampir tiba ke penamat.  Hari ini peserta di bawa melawat ibu pejabat TATA Group dan Larsen and Toubro Limited (L & T) di Mumbai.  TATA Group merupakan konglomerat terbesar di India pada masa ini.  Ia mengekspot produk serta perkhidmatan kepada lebih 120 negara.  Kumpulan itu yang mempunyai 93 syarikat terlibat dalam tujuh sektor perniagaan, iaitu sistem maklumat dan komunikasi, kejuruteraan, bahan, perkhidmatan, tenaga, produk pengguna dan bahan kimia.

 

            Peserta kemudian dibawa melawat ibu pejabat Larsen and Toubro Limited, iaitu salah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan berasaskan teknologi yang terbesar di India.  Selain bidang kejuruteran berat dan pembinaan, syarikat ini terkenal dalam pengeluaran peralatan hidraulik, elektrik dan elektronik, serta teknologi maklumat.  L & T juga menyediakan pelbagai fasiliti dan peralatan bagi pengeluaran, pemprosesan serta pengangkutan petroleum dan gas.  PETRONAS adalah antara syarikat yang mendapat kepararan L & T dalam bidang ini.  Selain Malaysia, syarikat tersebut mengekspot pelbagai produk dan perkhidmatan serta kepakaran ke China, Oman, Kuwait  dan Arab Saudi.

                                 ASEAN-India Media Exchange 1 022.jpg

 

 

2 Disember 2006

 

           Pada hari terakhir berada di negara itu, peserta dibawa melawat Nehru Centre bagi memahami perkembangan tamadun India  yang kompleks dan bewarna warni.  Di pusat berkenaan, pengunjung berpeluang melihat perjalanan sejarah dan budaya India  melalui artifaks, audio, visual dan catatan bertulis yang dipamerkan di Galeri Nehru.  Sejarah bermula dari zaman batu sehinggalah ke era untuk membebaskan negara tersebut daripada cengkaman penjajah.

 

            Sebelum mengakhiri lawatan, peserta di bawa ke Byculla, untuk menyaksikan aktiviti membasuh pakaian secara tradisional dengan tangan oleh kira-kira 3 rbu orang.  Kebanyakan mereka mengambil upah membasuh pakaian, cadar dan tuala untuk hotel-hotel ekonomi serta individu di sekitar Mumbai.  

 

            Sebelum kembali ke hotel penginapan kami diberi masa setengah jam untuk membeli  sedikit cenderamata buat keluarga dan teman-teman.  

 

            Lewat malamnya kesemua peserta Program pertukaran Media ASEAN-India meninggalkan Mumbai dengan pengalaman yang tidak ternilai.

 

SINGGAH BERJEJAK

JORDAN YANG KUJEJAKI

catatan:  Zazmie Mohd. Zain

 

Pertama kali menjejakkan kaki ke Jordan membuat hati melonjak untuk melihat kesan sejarah yang selama ini sekadar dibaca mahupun didengar. Kesempatan berkunjung ke bumi kelahiran ambiya itu awal September lalu sememangnya dinanti – nantikan. Walaupun pergerakan terbatas lantaran terikat dengan jadual lawatan Negara Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong  namun masa senggang yang diperoleh diguna sepenuhnya untuk menyaksikan daya tarikan bersejarah di sekitar Amman.

           

            Peluang masuk ke gua yang dikisahkan dalam Al- Quran menerusi surah Al Khafi terasa amat menakjubkan. Gua yang pernah menjadi tempat perlindungan tujuh sahabat daripada penguasa yang zalim kini berada di depan mata.

           

            Di dalam gua itulah pemuda – pemuda berkenaan bersembunyi dan tertidur selama lebih 300 tahun. Akhirnya mereka dibangkitkan oleh Allah S.W.T dan mendapati keadaan telah jauh berubah jika dibandingkan ketika saat mereka memasuki gua tersebut

 

            Disamping itu lawatan ke Laut Mati turut dikagumi untuk melihat sendiri kesan sejarah yang menjadi saksi tragedi ngeri  yang telah menimpa umat Nabi Lut. Terbayang ketika itu bagaimana Allah S.W.T meneggelamkan kaum Sodom yang menderhakai dan laranganNya.

           

            Melihat bagaimana tubuh terapung dipermukaan air serta menyaksikan bagaimana pengunjung melumuri badan dengan lumpur laut mati yang didakwa mampu menjadi penawar penyakit kulit.

 

            Seterusnya sempat juga melawat kesan peninggalan pemerintahan Rom, berupa sebuah arena yang digunakan untuk rakyat mendengar ucapan pemimpin mereka serta menjadi gelanggang maut pesalah dibaham singa.

 

            Walaupun masa agak terbatas- berkejar dari lokasi ke lokasi, namun tugasan yang turut disertai rakan – rakan wartawan dan jurukamera /jurufoto Berita TV, BERNAMA dan Jabatan Penerangan ini sukar untuk dilupakan lebih – lebih lagi apabila salah seorang daripada kami nyaris tertinggal pesawat apabila terpaksa berpatah balik (setelah urusan check in) untuk mengambil dompet dan telefon bimbit yang tertinggal ketika melalui scanning bagasi.  

 

JORDAN.jpg

 

Dari kiri - Azhar(Berita TV),Hidayat(Wartawan TV),Rosmah(Wartawan BERNAMA)

Bustam(Jurufoto Penerangan) dan Penulis berlatarbelakangkan Laut Mati

 

JORDAN3.jpg

 

Penulis berpeluang merasa sendiri air laut paling masin di dunia

 

JORDAN2.jpg

 

Singgah seketika di Gunung Nebo sebelum  ke Laut Mati.

Dari kiri - Azhar, Penulis dan Halim (jurukamera TV)

 

 

           

 

SINGGAH BERJEJAK

LIPUTAN SIDANG KEMUNCAK PERGERAKAN NEGARA BERKECUALI(NAM)DI HAVANA, CUBA.

catatan : HJ.MUSTAFA KAMAL ABDUL RAZAK.

 

Havana, Cuba merupakan destinasi pertama saya bertugas membuat liputan berita di luar negara, selepas bertukar ke Pusat Berita Radio pada April lalu. Ini juga perjalanan jauh pertama saya selepas lebih lima tahun tidak pergi ke luar negara, kecuali pergi menunaikan ibadat haji ke Mekah pada tahun 2004 dan menghadiri beberapa tugas rasmi ke Brunei dan Indonesia yang hanya memakan masa penerbangan sekitar tiga hingga enam jam.

 

Sebelum berlepas pada tanggal 09 September 2006, hati begitu berkobar-kobar ingin tahu dan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana corak kehidupan masyarakat di Negara yang ditadbir oleh sistem pemerentahan komunis itu.

 

Kalau selama ini, berita dan maklumat  mengenai Cuba, yang diterajui seorang pemimpin veteran komunis, Fidel Castro hanya diperoleh menerusi laporan media, maka tugasan untuk liputan Sidang Kemuncak NAM ini memberikan peluang kepada saya melihat sendiri sistem politik, ekonomi dan sosial negara itu yang dikatakan berseteru hebat dengan Amerika Syarikat hingga bertahun-tahun lamanya dikenakan sekatan oleh Washington.

 

Seperti dijadualkan, pukul 11.55malam Pesawat MAS yang dinaiki bersama kru berita TV, Adnan Ghailan, Nordin Zulkifli dan Surif Suradi bergerak meninggalkan  KLIA di Sepang untuk menuju ke Lapangan terbang Schipol, Amsterdam sebagai destinasi persinggahan pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Havana, ibu Negara Cuba.

 

Tiba di Schipol Airport kira-kira 6.30pg pada 10 September 2006 dan dijadual menukar penerbangan menggunakan pesawat Iberia Airlines.

 

Picture Cuba 040.jpg

 

                                                      Gambar kenangan di hotel penginapan

 

Majlis ‘ Suaikenal’

 

Sementara menunggu kaunter Check-in dibuka pukul 9.00pg. kami bertemu dengan rakan-rakan media dari Malaysia yang lain iaitu En. Parkaran Krishnan dari STAR, En. Mokhtar Husin bersama jurugambar Samsudin Mohammed dari Bernama, Othman Mohamad- Utusan, Ahmad Zaini -Berita Harian dan Kamrul Idris-NST. Begitu juga rakan-rakan dari TV3, Ahmad Suhaimi dan Abdul Rahman.

 

Di ruang ‘transit’ lapangan terbang Schipol inilah tempat kami bersalam-salaman dan mula berkenal-kenalan satu sama lain. Turut  serta dalam ‘majlis suaikenal’  ringkas  itu,  beberapa pegawai dari MIMOS yang juga sedang dalam perjalanan ke Cuba bagi satu acara khas menandatangani MoU penjualan computer antara MIMOS dengan dengan sebuah syarikat IT kerajaan Cuba.

 

Seperti dijadualkan kira-kira pukul 12.30 peswat kami bergerak meninggalkan lapangan terbang Schipol untuk ke destinasi yang dituju, iaitu Havana, ibu Negara Cuba.

 

Kira-kira pukul 4.30 ptg, alhamdulillah akhirnya peswat yang membawa kami mendarat dengan selamatnya di Lapangan Terbang Jose Marti, Havana selepas melakukan penerbangan selama 9-jam.Berbanding KLIA, lapangan terbang Havana, amat jauh kebelakang dan  sedetik itu jugalah terasa gahnya menjadi rakyat Malaysia.

 

Memang meletihkan kerana sepanjang perjalanan dari mula tiba pukul  6.30pg  di Lapangan Terbang Amsterdam hinggalah mendarat di Havana 5-ptg, perut hanya dialas dengan minuman orange jus  dan kacang yang diminta oleh Surif dari paramugari MAS. Nasib baiklah budak Surif tu panjang akalnya buat muka tak malu semasa dalam pesawat MAS minta satu beg kacang, mengandungi kira-kira 20-bungkus. Yang itulah diagih-agihkan sesame kami. Nak makan makanan yang disediakan dalam peswat tak sanggup, sebab ia bukan disediakan untuk orang-orang Islam.

 

Picture Cuba 014.jpg

 

                                             Menikmati sarapan pagi bersama kru TV

 

Havana.

 

Ketibaan di Havana disambut para pegawai kedutaan Malaysia. Semasa menunggu bagasi, pada mulanya tanpak tiada masalah kerana satu demi satu beg bergerak keluar selepas menunggu kira-kira setengah jam. Okeylah tu..masing-masing nampak happy..walaupun letih.

 

Perasaan resah dan tertanya-tanya bermula apabila bagasi Surif  dan Rahman, TV3 tidak muncul-muncul selepas lebih 3-jam menunggu. Selain pakaian, kedua-dua bagasi itu turut memuatkan mesin editing, bateri dan charger. Raut muka yang cemas dan pucat lesi jelas kelihatan pada kedua-dua kawan ini, bimbang bagasi hilang dalam perjalanan.

 

Kami cuba bertanya kepada petugas disitu, tapi tak siapa pun boleh beri jawapan, sebab mereka tak faham walau sepatah bahasa inggeris. Perkara ini hanya selesai kira-kira dua jam lepas itu apabila pegawai dari kedutaan datang membantu. Masalahnya taklah sebesar mana, Cuma mereka tahan bagasi itu untuk satu pemeriksaan rapi. Takut kalau-kalau bom kot…

 

Tiba di hotel Comodoros, kira-kira 20 kilometer dari lapangan terbang kira-kira 8.00mlm. Hotel ini mempunyai 134 bilik dan ia dikelilingi dengan beberapa buah banglow dengan lebih 300 bilik. Persekitarannya agak cantik dengan dikelilingi kolam renang. Semua wartawan Malaysia tinggal dirumah-rumah banglow ini bersama-sama kumpulan wartawan dari Negara-negara asing. Saya sendiri tinggal dibilik  734, Adnan Ghailan 754 manakala Surif dan Nordin berkongsi bilik  726 yang kemudiannnya  dijadikan bilik operasi termasuk masak-memasak.

 

Ketibaan kami disambut pelayan hotel dengan ‘minuman selamat datang’. Disebabkan penat, lapar dan dahaga, maka adalah antara kami yang terus meneguk air yang dihulur pelayan tanpa banyak soal. Selepas ada yang terbatuk dan tersedak,  barulah bertanya apa minuman yang diberi. Rupa-rupanya wine yang dicampur coke….masyaallah arak rupanya…jam tulah masing-masing keluar fatwa…takpe sebab tak tahu….soalnya kenapa tak tanya dulu sebelum meneguk…

 

Tugas liputan hanya bermula pada 12 September 2006 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di lapangan terbang Havana dan tugasan ini berterusan sehingga Paklah berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agong PBB pada 17 September 2006.

 

Sama rata..Sama rasa….

 

Seperkara yang menarik bagi kehidupan rakyat Cuba ini ialah semangat patriotic mereka. Meskipun hidup dalam kemiskinan dan dikenakan sekatan Amerika Syarikat, tetapi rata-rata mereka kelihatan gembira, mesra dan seperti langsung tidak bermasalah.

 

Sentimen kebencian mereka terhadap pemimpin Amerika Syarikat George Bush dan sekutunya Tony Blai dari Britain cukup kuat, malah jauh lebih kuat berbanding orang-orang Arab yang negara mereka dijajah Israel, sekutu kuat Bush. Pantang disebut nama Bush, cepat-cepat mereka mahu dia disembelih dan patut ditembak. Agaknya itulah semangat yang disemai oleh Castro kepada setiap rakyatnya. Poster dan banner mengecam kedua-dua pemimpin ini terdapat dimerata tempat di Havana, terutama disekitar bangunan kedutaan Amerika Syarikat.

 

Cuba yang dikelilingi Lautan Atlantik, memang sebuah negara pulau yang cantik dan menarik. Sistem pemerentahan komunis negara itu, menjadikan taraf hidup raklyatnya hampir sama rata, tidak ada miskin dan tidak ada yang terlalu kaya. Paling unik , mereka masih mengekalkan dan memulihara  warisan sejarah dan tidak hairan masih banyak kereta yang boleh dikategori antic, masih bergerak lancar di atas jalan-jalan raya.

 

Sistem pemerentahahan yang diamalkan menyebabkan rakyatnya tidak berpeluang mengumpul kekayaan peribadi. Segalanya milik pemerentah baik gerai di tepi-tepi jalan sehinggalah kepada gudang dan pejabat yang besar-besar. Yang jelas, rakyat Cuba tidak ada yang miskin dan tidak ada yang kaya…mereka hidup sama rata dan sama rasa…..                                                    

                                                                 

                                  Picture Cuba 081.jpg 

                                   Di Malaysia ia hanya bahan pameran, tetapi di Cuba ia menjalar di jalan - jalan raya

 

 

                                                                                                                                                                 kembali...